JAMBATAN Bailey di Kampung Melangkap Baru yang rosak dan runtuh akibat banjir.
JAMBATAN Bailey di Kampung Melangkap Baru yang rosak dan runtuh akibat banjir.
Recqueal Raimi


Kota Belud: “Jambatan ini sudah runtuh sebanyak tiga kali sejak 2015 dan sekiranya ia tidak dibaiki segera akan menyukarkan penduduk keluar masuk kampung masing-masing,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Malangkap, Demis Rumanti, 52, yang bimbang apabila jambatan menghubungkan kampungnya runtuh sekali lagi dalam kejadian hujan lebat, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, hampir 4,000 penduduk dari enam kampung dan sebuah sekolah terjejas apabila jambatan menghubungkan kampung mereka runtuh.

Kampung yang terjejas termasuk Kampung Malangkap Tiong, Malangkap Noriou, Malangkap Kapa dan Malangkap Piso, Kampung Gonsurai, Kampung Tinata dan Sekolah Kebangsaan (SK) Gonsurai.

“Setakat ini, pengguna kenderaan boleh melalui laluan alternatif di Jalan Podos Malangkap melalui Kampung Taginambur.

“Bagaimanapun, ia memakan masa perjalanan yang lama kerana jaraknya sejauh 20 kilometer (km) berbanding laluan jambatan yang runtuh itu hanya 9km sahaja,” katanya dihubungi.

Menurutnya, dia dan penduduk akan bergotong-royong membaiki jambatan gantung di Kampung Malangkap Baru bagi memudahkan murid berjalan kaki khususnya calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang akan berlangsung 11 September ini.

Sementara itu, pemangku Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Leftenan Kolonel Mohd Izaimi Md Daud berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berkaitan kejadian itu pada jam 6 petang dan segera mengerah tiga anggota ke lokasi membuat pemantauan.

“Sebaik tiba, anggota APM mendapati jambatan struktur papan sepanjang 40 meter berkenaan runtuh namun tiada mangsa dilaporkan cedera.

“Kita turut mengawal laluan jalan raya bagi memastikan keselamatan pengguna kenderaan di kawasan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2017 @ 8:18 AM