Recqueal Raimi


HAMPIR 4,000 penduduk terjejas apabila jambatan menghubungkan enam kampung runtuh dan senget berikutan hujan lebat lebih tiga jam, lewat petang semalam.

Jambatan 40 meter itu tidak dapat dilalui kenderaan untuk ke Kampung Malangkap Tiong, Malangkap Noriou, Malangkap Kapa, Malangkap Piso, Kampung Gonsurai dan Kampung Tinata termasuklah Sekolah Kebangsaan (SK) Gounsurai.

Selain itu, jumlah mangsa banjir di Kota Belud pula kekal 17 di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) hari ini.

Pemangku Pengarah APM negeri, Leftenan Kolonel Mohd Izaimi Md Daud berkata, hujan lebat menyebabkan berlaku banjir di Kampung Siasai, Kampung Bobot, Kampung Ejuk, Kampung Kota Belud, Kampung Menunggui, Kampung Linau dan Kampung Gunding.

"Sehingga 10 malam tadi, mangsa yang dipindahkan ke PPS Dewan Masyarakat Tun Said membabitkan penduduk Kampung Bobot, Kampung Ejuk dan Kampung Kota Belud," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamanatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Malangkap, Demis Rumanti berkata, pengguna kenderaan boleh melalui laluan alternatif di Jalan Podos Malangkap melalui Kampung Taginambur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2017 @ 10:18 AM