LOKASI kejadian tanah runtuh di KM 36 Jalan Marak Parak, Kota Marudu-Ranau, Kota Marudu. FOTO Lano Lan
LOKASI kejadian tanah runtuh di KM 36 Jalan Marak Parak, Kota Marudu-Ranau, Kota Marudu. FOTO Lano Lan
Fardy Bungga dan Recqueal Raimi


BAPA saudara mangsa tanah runtuh tidak menyangka tindakan anak saudara memohon maaf sambil mengalirkan air mata ketika menyambut Tahun Baru seakan memberi petanda bahawa dia akan pergi buat selama-lamanya.

Bandawa Sondingan, 65, berkata, anak saudaranya itu, Jaimin Bien, 46, berbuat demikian ketika ahli keluarganya berkumpul sempena menyambut Tahun Baru 2018, di rumahnya di Kampung Malangkap Tengah, Kota Marudu, pada malam 31 Disember lalu.

BANDAWA Sondingan, 65. FOTO Lano Lan
BANDAWA Sondingan, 65. FOTO Lano Lan

"Saya hanya menyedari kelakuan pelik Jaimin selepas mendapat tahu dia dan sepupunya, Edmon James, 22, meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh, pagi tadi," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Pada kejadian kira-kira 7 pagi itu, Jaimin dan Edmon meninggal dunia selepas motosikal Honda EX5 dinaiki terjatuh dari ketinggian kira-kira 10 meter (m) akibat tanah runtuh di Kilometer 36 Jalan Marak Parak, Kota Marudu-Ranau, dekat Kota Marudu.

Kedua-dua lelaki itu dipercayai tertimbus sebelum mayat mereka ditemui oleh pasukan penyelamat.

MANGSA tanah runtuh, Jaimin Bien, 46, (kiri) dan Edmon James, 22. FOTO Lano Lan
MANGSA tanah runtuh, Jaimin Bien, 46, (kiri) dan Edmon James, 22. FOTO Lano Lan

Menurut Bandawa, sebelum kejadian, Jaimin dan Edmon keluar dari rumah di Kampung Surun-Surun, Kota Marudu, kira-kira 9.35 malam semalam.

Katanya, kedua-dua lelaki itu dikatakan menghala ke pekan Kota Marudu untuk membeli barangan dapur.

Bagaimanapun, mereka tidak pulang sehingga pagi dan itu menimbulkan kerisauan ahli keluarga.

“Menyedari keadaan itu, sepupu mangsa, Eddy Saimon, 21, yang bekerja sebagai pemandu bas kemudian mengambil keputusan untuk mencari mereka.

"Namun, ketika dalam perjalanan, Eddy mendapati ada tanah runtuh. Eddy memberitahu dia mempunyai naluri yang kuat untuk berhenti dan memeriksa kawasan runtuhan berkenaan," katanya.

Bandawa berkata, naluri anak saudaranya itu ternyata benar apabila terlihat motosikal sepupunya berada di bawah runtuhan tanah itu.

Beliau yang juga ketua kampung Malangkap Tengah berkata, Eddy terkejut apabila melihat tangan manusia di kawasan berhampiran sebelum cuba menarik anggota badan itu keluar dari tanah, namun, dia gagal disebabkan timbunan tanah dan jalan tar.

“Eddy kemudiannya menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan mengeluarkan mangsa.

“Kami sangat sedih dengan kejadian ini," katanya.

Difahamkan, mayat dua lelaki itu akan disemadikan di Kampung Malangkap Tengah, Kota Marudu, Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 6:40 PM