WAKIL penduduk Kampung Baru Kemasik, Terengganu  menjuarai Kategori Kampung Tradisional.
WAKIL penduduk Kampung Baru Kemasik, Terengganu menjuarai Kategori Kampung Tradisional.
Hamizah Badiran


Kuala Lumpur: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru Kemasik, Terengganu, dinobatkan juara Anugerah Desa Perdana Peringkat Kebangsaan 2017 sekali gus melayakkan mereka menerima hadiah wang tunai RM100,000 dan projek pembangunan RM600,000.

Pengerusinya, Abdul Nasir Muhamad berkata, hadiah kemenangan akan digunakan untuk mengembangkan produk pembuatan, pertanian dan perikanan, selain memperkasakan peranan belia di kampung berkenaan.

“Kita sentiasa menitikberatkan kebajikan lebih 2,000 penduduk kampung dan secara berterusan menjalankan pelbagai aktiviti khususnya untuk membantu penduduk miskin dengan mendahulukan dana JKKK.

“Selain bekerja makan gaji, terdapat ramai dalam kalangan penduduk yang bergelar usahawan kecil dan menjadi keutamaan JKKK untuk meningkatkan tahap ekonomi mereka dengan cuba mencari pasaran yang lebih meluas,” katanya pada Perhimpunan JKKK, JKKK Persekutuan (JKKKP) dan JKKK Orang Asli (JKKKOA) serta Anugerah Desa Perdana 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), kelmarin.

Pada majlis itu, Kampung Baru Kemasik memenangi kategori Kampung Tradisional manakala Kampung Orang Asli Pengkalan Tereh, Kluang, Johor dan Rumah Benggau, Ng Sut, Kapit, Sarawak masing-masing diumumkan sebagai johan bagi kategori Kampung Orang Asli dan Rumah Panjang.

Anugerah disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Majlis mengumpulkan 10,000 JKKK/JKKKP/JKKKOA seluruh negara itu turut dihadiri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Presiden Gabungan Persatuan Ketua Kampung, Datuk Shahaimi Othman.

Pengerusi JKKKOA Pengkalan Tereh, Ramli Yusof, pula berkata, hadiah RM50,000 dan RM100,000 dalam bentuk projek akan digunakan untuk mengembangkan pertanian kontan pisang dan serai selain madu kelulut yang aktif dijalankan penduduk setempat.

“Bukan mudah untuk mendapat kerjasama daripada semua penduduk kampung tetapi kami sentiasa berusaha tanpa mengenal erti putus asa untuk membentuk sebuah kampung yang bersatu padu.

“Program gotong-royong kerap dilakukan untuk mengumpul penduduk bagi menjalinkan hubungan yang lebih mesra dan harmoni selain bertujuan mendengar pandangan mahupun keluhan mereka,” katanya.

Najib mengumumkan Skim Insurans Kelompok kepada 265,000 ahli JKKK/JKKKP/JKKKOA yang diluluskan Kabinet minggu lalu berkuat kuasa Januari 2018.

Katanya, di bawah skim itu, kerajaan akan membayar RM10, manakala ahli JKKK/JKKKP/JKKKOA perlu membayar RM7 setahun yang antara lain bakal memperoleh faedah kematian akibat kemalangan RM5,000, manakala kematian biasa RM2,500.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 6:18 AM