NAJIB menyampaikan Anugerah Desa Perdana 2017 Kategori Kampung Tradisional   kepada Pengerusi JKKK Kampung Baru Kemasik Terengganu, Abdul Nasir Muhammad yang merangkul johan   sambil disaksikan Ismail (tiga dari kiri) dan   Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman (kanan) di PWTC, semalam.
NAJIB menyampaikan Anugerah Desa Perdana 2017 Kategori Kampung Tradisional kepada Pengerusi JKKK Kampung Baru Kemasik Terengganu, Abdul Nasir Muhammad yang merangkul johan sambil disaksikan Ismail (tiga dari kiri) dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman (kanan) di PWTC, semalam.
Mohd Nasif Badruddin


Kuala Lumpur: Kabinet meluluskan Skim Insurans Berkelompok untuk 265,000 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), JKKK Persekutuan (JKKKP) dan JKKK Orang Asli (JKKKOA) yang masih berkhidmat berkuat kuasa Januari 2018.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, cadangan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) itu diluluskan dalam mesyuarat Kabinet minggu lalu.

Menurutnya, di bawah skim itu, kerajaan akan membayar RM10 premium insurans setahun dan RM7 lagi dibayar ahli JKKK/JKKKP/JKKKOA yang antara lain bakal memperoleh faedah kematian akibat kemalangan RM5,000 dan kematian biasa RM2,500.

“KKLW juga mengeluarkan kad JKKK/JKKKP/JKKKOA yang mana setiap pemegang kad ini akan dapat diskaun dalam pembelian produk pertanian, penginapan, makan minum di hotel atau resort tertentu dan sebagainya.

“Bagi pihak kerajaan hari ini, insya-Allah kami akan terus membela untung nasib semua ketua kampung terbabit,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen JKKK/JKKKP/JKKKOA dan Anugerah Desa Perdana 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dua timbalannya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Datuk Alexander Nanta Linggi serta Presiden Gabungan Persatuan Ketua Kampung Malaysia Datuk Shahaimi Othman.

Najib berkata, JKKK /JKKKP/JKKKOA juga perlu berperanan memperbetulkan persepsi rakyat yang berdepan peperangan persepsi, bukannya peperangan realiti dunia politik.

“Bila kita ada pembangkang yang suka menyelewengkan fakta ataupun main senjata persepsi sehinggakan yang tidak betul menjadi betul, yang batil menjadi benar dan kita selalunya menjadi mangsa kepada permainan seperti itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 6:55 AM