KHALID (dua dari kanan) bersama  Mohamad Shazalli  (tiga dari kiri) dan  Mahamad Akhir  (kanan) pada pelancaran Ops Selamat 11/2017 bertemakan Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi di Menara Telekom Malaysia Berhad, semalam.
KHALID (dua dari kanan) bersama Mohamad Shazalli (tiga dari kiri) dan Mahamad Akhir (kanan) pada pelancaran Ops Selamat 11/2017 bertemakan Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi di Menara Telekom Malaysia Berhad, semalam.
Kalidevi Mogan Kumarappa


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengalu-alukan cadangan kerajaan menetapkan hukuman lebih berat bagi pemandu cuai hingga menyebabkan kematian pada musim perayaan.

Perkara itu dinyatakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada pelancaran Ops Selamat 11/2017 bertemakan Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi di Menara Telekom Malaysia Berhad (TM), semalam.

Ops Selamat akan dilaksanakan bermula 18 Jun hingga 2 Julai depan.

Beliau berkata, seperti tahun-tahun sebelum ini, PDRM memberi fokus kepada usaha mencegah jenayah pecah rumah dan meminimumkan kemalangan jalan raya ketika musim perayaan Aidilfitri.

Bagaimanapun, ketika disoal mengenai keberkesanan Ops Selamat yang dijalankan sejak 20 tahun lalu, Khalid mengakui masih ramai pemandu yang memandang remeh pada tindakan undang-undang yang ketat termasuk kompaun maksimum selain tiada diskaun untuk saman sepanjang musim perayaan.

“Memang sebelum ini, saya pernah mencadangkan kompaun lebih berat hingga ‘koyak rabak poket’ pemandu, namun ia terpulang kepada kerajaan.

“Jika kerajaan ingin meminda undang-undang supaya setiap pemandu yang dikenakan saman perlu dihadapkan terus ke mahkamah, kami sentiasa mengalu-alukannya,” katanya.

Turut hadir pada pelancaran itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Seri Mohamad Shazalli Ramly dan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Mahamad Akhir Darus.

Khalid berkata, kempen Op Selamat yang dilancarkan sejak 20 tahun lalu masih kurang memberi kesan positif dalam menurunkan kadar kemalangan dan jenayah pecah rumah semasa musim perayaan, berikutan kesedaran masyarakat yang masih rendah.

“Saya amat susah hati kerana setiap kali musim perayaan, banyak kemalangan maut yang berlaku.

“Secara purata, sebanyak 7,000 kematian dicatatkan setiap tahun dengan 95 peratus punca kemalangan adalah akibat kecuaian pemandu sendiri,” katanya.

Katanya, penggunaan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) juga boleh dimanfaatkan oleh orang ramai untuk menghantar Borang Maklumat Balik Kampung.

“Peratusan kes pecah rumah membabitkan rumah yang memberi notis balik kampung kepada kita (polis) adalah amat rendah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2017 @ 11:15 AM