LOKMAN (kanan) bersama anggota memeriksa brek dan kawalan stering bas persiaran sempena Ops JPJ Depoh Khas Bulan Perayaan. FOTO Hazreen Mohamad
LOKMAN (kanan) bersama anggota memeriksa brek dan kawalan stering bas persiaran sempena Ops JPJ Depoh Khas Bulan Perayaan. FOTO Hazreen Mohamad
Muhaamad Hafis Nawawi


Kajang: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah memeriksa 361 bas di 54 depoh bas seluruh negara sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan cuti persekolahan.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Datuk Lokman Jamaan berkata, aktiviti pemeriksaan dan pengauditan membabitkan depoh bas di seluruh negara dilakukan bermula Sabtu lalu bagi memastikan tahap kesediaan operasi dan keselamatan berada dalam keadaan baik.

Menurutnya, bagaimanapun, 12 bas diambil tindakan dan 10 bas dikeluarkan Notis Larangan Penggunaan Kenderaan (PG1) kerana pelanggaran peraturan teknikal yang ditetapkan.

"JPJ juga memantau pemandu yang akan mengendalikan operasi bas mempunyai dokumen yang lengkap dan bersedia mengoperasikan perkhidmatan bas mengikut jadual ditetapkan.

"Kita memandang serius aspek keselamatan dan tidak akan berkompromi dengan pihak syarikat, pemilik dan pemandu bas ekspres termasuk mana-mana pengguna jalan raya yang masih tegar melanggar undang-undang serta peraturan yang ditetapkan," katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melakukan pemeriksaan di Depoh Transnasional Express Sdn Bhd (Transnasional), Sungai Chua, di sini, sempena Ops JPJ Depoh Khas Bulan Perayaan.

Hadir sama Ketua Pegawai Kewangan Transnasional, Syed Syamma Wafa Syed Jalaluddin dan Ketua Operasi Transnasional, Rosli Md Dali.

Lokman berkata, larangan kenderaan berat beroperasi sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina adalah dua hari sebelum perayaan iaitu 8 dan 9 Februari, sementara dua hari lagi selepas perayaan iaitu pada 12 dan 13 Februari.

"Larangan itu bagi memastikan kelancaran lalu lintas sepanjang musim perayaan, selain mengelak berlaku kejadian kemalangan tidak diingini.

"Kita juga akan melakukan pemeriksaan status saman syarikat pengendali bas tertunggak dan pemeriksaan status saman pemandu bas tertunggak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 6:38 PM