GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sebanyak 1,389 kes kemalangan dicatatkan pada hari terakhir Op Selamat sempena Tahun Baharu Cina di seluruh negara.

Berdasarkan statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, jumlah kemalangan berkenaan membabitkan 1,711 kenderaan.

Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Seri Mat Kassim Karim berkata, kemalangan jalan raya membabitkan kereta mencatatkan 1,140 kes diikuti pacuan empat roda iaitu 211 kes.

"Sebanyak 250 motosikal direkodkan terbabit dalam kemalangan selain 86 lori dan 15 van.

"Kita juga mengesan tujuh kes membabitkan bas dan satu kes kenderaan perladangan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Op Selamat 19 dilaksanakan selama 10 hari bermula 18 hingga semalam di seluruh negara.

Polis Diraja Malaysia menerusi JSPT menggunakan pendekatan advokasi dan kempen keselamatan jalan raya dalam usaha meminimumkan kadar kemalangan jalan raya dan meningkatkan kawalan pencegahan jenayah pecah rumah sepanjang musim perayaan.

Inisiatif yang dilaksanakan adalah langkah pencegahan kemalangan jalan raya, memberi penekanan berkenaan keselamatan di jalan raya di samping mendidik pengguna mengamalkan sikap pemanduan berhemah dan mematuhi undang-undang jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 3:27 PM