Abdul Samah pada majlis perasmian Ops Selamat 8/2016, di plaza tol LDP, Puchong, hari ini. FOTO Norizuan Shamsuddin
Abdul Samah pada majlis perasmian Ops Selamat 8/2016, di plaza tol LDP, Puchong, hari ini. FOTO Norizuan Shamsuddin
Oleh Norizuan

Subang Jaya: Polis Selangor akan menumpukan kepada penguatkuasaan undang-undang sepenuhnya dengan mengenakan tindakan terhadap pesalah trafik bagi Op Selamat 8/2016 sempena sambutan Tahun Baru Cina yang bermula hari ini hingga 16 Februari depan.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata, pendekatan terbabit dilakukan sebagai usaha bagi menurunkan statistik kemalangan terutamanya pada musim perayaan.

Katanya, tindakan itu dapat mendidik pengguna supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan, seterusnya mengelakkan kehilangan nyawa.

"Kita akan menggunakan penguatkuasaan sepenuhnya dengan mengambil tindakan terhadap pesalah trafik pada operasi kali ini.

"Polis Selangor mempunyai seramai 13,333 pegawai dan anggota yang akan terlibat sepenuhnya untuk operasi ini termasuk 966 anggota dari Unit Trafik. Kita turut dibantu oleh agensi lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pertahanan Awam dan sebagainya.

"Selaras dengan tema operasi tahun ini 'Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi', kita turut membuat rondaan secara berkala bagi mengelakkan berlakunya kegiatan jenayah terutamanya pecah rumah selepas orang ramai mula meninggalkan kediaman sempena cuti perayaan ini," katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Ops Selamat 8/2016, di Plaza Tol Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Puchong Selatan, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2016 @ 1:56 PM