Oleh Siraj Mohd Zaini


Kuala Lumpur: Ops Selamat 7/2015 sempena Aidilfitri akan bermula pada 10 Julai hingga 24 Julai ini.

Program yang ditaja Telekom Malaysia (TM) itu dirasmikan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di Stesen KL Sentral, di sini, pagi tadi.

Objektif utama Ops Selamat adalah untuk mencegah jenayah pecah rumah serta meminimumkan kemalangan jalan raya ketika musim perayaan.

Bertemakan 'Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi', antara operasi yang bakal dijalankan termasuklah perangkap had laju, motosikal, selain tumpuan diberikan kepada kesalahan memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan memotong barisan.

Orang ramai juga diingatkan supaya memaklumkan kepada polis jika pulang ke kampung supaya rondaan pencegahan jenayah dapat dipertingkatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2015 @ 12:17 PM