HM Digital

Hulu Selangor: Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun melancarkan Op Selamat ke-12 (Op Selamat 12) sempena perayaan Tahun Baru Cina 2018, semalam.

Kempen keselamatan selama dua minggu bermula 9 Februari sehingga 23 Februari depan itu mengekalkan tema Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi

Menurut Mohamad Fuzi, objektif operasi Op Selamat 12 masih sama iaitu mencegah jenayah pecah rumah dengan menekankan keselamatan harta benda dan rumah yang ditinggalkan sepanjang tempoh bercuti serta meminimumkan kemalangan jalan raya ketika musim perayaan.

“Antara pendekatan yang diambil bagi menjayakan Op Selamat kali ini adalah menyusun strategi dalam melancarkan lalu lintas, menurunkan kadar kemalangan maut serta jenayah pecah rumah ke tahap paling minimum.

“Tumpuan akan diberikan kepada kontinjen dan daerah yang mencatatkan kemalangan maut yang tinggi, selain meningkatkan rondaan dan pemantauan di kawasan perumahan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Op Selamat 12/2018 Perayaan Tahun Baru Cina di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Ulu Bernam, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi berkata, USLR yang ditubuhkan bagi menyiasat kes kemalangan ringan diwujudkan di tiga zon sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan iaitu zon utara, tengah dan selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 6:18 AM
MOHAMAD Fuzi mencuba kereta rasmi PDRM selepas pelancaran Op Selamat ke-12 di Kawasan Rehat dan Rawat  Ulu Bernam.
MOHAMAD Fuzi mencuba kereta rasmi PDRM selepas pelancaran Op Selamat ke-12 di Kawasan Rehat dan Rawat Ulu Bernam.