TERTUDUH (kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam. Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
TERTUDUH (kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam. Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
Fuad Hadinata Yaacob


BEKAS Majistret didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini atas tuduhan merasuah Timbalan Pendakwa Raya Selangor berjumlah RM1,000.

Bagaimanapun tertuduh, Esther Tan Siew Choo, 54, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memberi suapan wang tunai RM1,000 kepada Timbalan Pendakwa Raya Selangor, Mahmoodah VM Abdul Latif sebagai dorongan menggugurkan kes ke atas anak guamnya, Mohd Hairi Mohd Jani yang melakukan kesalahan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan iaitu cubaan samun, Februari lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Mahkamah Majistret Sungai Besar, Jalan Besar, Sungai Besar, Selangor pada 12.30 tengah hari, 2 Februari lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Hazirah Azeman manakala tertuduh diwakili peguam bela Datuk Salehuddin Saidin.

Pendakwa raya memohon jaminan dikenakan RM10,000 sebelum mahkamah menetapkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2017 @ 11:55 AM