GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seorang penolong jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan rasuah berjumlah RM10,000 berkaitan kerja membaikpulih sebuah sekolah di Cheras, Selangor pada Mei lalu.

Tertuduh, Zabidi Zahari, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, Zabidi iaitu Penolong Jurutera yang bertugas di Bahagian Bangunan didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM10,000 daripada seorang individu.

Wang berkenaan adalah sebagai dorongan untuk melakukan suatu perbuatan berhubungan dengan hal ehwal prinsipal tertuduh, iaitu memperaku siap kerja bagi kerja-kerja pembaikan dan baik pulih serta lain-lain kerja berkaitan di sebuah sekolah di Cheras Perdana, Selangor yang bernilai RM354,051.

Justeru, tertuduh melakukan suatu kesalahan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Zabidi didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Kampung Teras Jernang, Bandar Baru Bangi, Bangi pada 17 Mei lalu.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muaz Ahmad Khairuddin manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Baharudin Ahmad Kassim.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 2:06 PM