Iskandar Shah Mohamed

Shah Alam: Anak bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan menerima dan meminta suapan berjumlah RM1.32 juta membabitkan dua projek berasingan, tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Zukhairi Mohd Arif, 35, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Asmadi Hussin selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa secara rasuah meminta suapan daripada seorang kontraktor, Mohd Safian Mohd Salleh, dua peratus daripada nilai projek (RM1.2 juta) sebagai dorongan untuk dirinya dan bapanya, Datuk Mohd Arif Ab Rahman, 59, yang juga bekas KSU KKLW itu.

Suapan itu bagi membantu Syarikat Eramaz (M) Sdn Bhd mendapatkan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) untuk Sistem Solar Hibrid di enam pulau terpencil di Sandakan, Sabah, yang bernilai RM60 juta.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah hotel Subang Jaya antara jam 5 petang hingga 9 malam, 17 Mac tahun lalu.

Bagi dua pertuduhan berikutnya, Ahmad Zukhairi didakwa menerima suapan RM70,000 dan RM50,000 daripada Zul Fadli Rosli sebagai upah membantu Syarikat HH Global Construction Sdn Bhd mendapatkan projek cadangan membina dan menyiapkan Dataran Rekreasi Tiga Aras dan kerja berkaitan di Persisiran Tasik Pengkalan Gaji, Tasik Kenyir, Terengganu yang bernilai RM3.29 juta.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di sebuah hotel di Shah Alam, kira-kira jam 8 pagi hingga 2 petang 18 Ogos tahun lalu, dan sekitar September tahun sama.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16 (a) (A) dan 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, S Thangavelu manakala tertuduh diwakili empat peguam bela diketuai Datuk Salehuddin Saidin.

Asmadi membenarkan semua kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan sebutan semula kesditetapkan pada 20 Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2017 @ 5:29 PM
Ahmad Zukhairi (tengah) dibawa ke mahkamah oleh pegawai SPRM. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
Ahmad Zukhairi (tengah) dibawa ke mahkamah oleh pegawai SPRM. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria