PERTANDINGAN menghias kek bersama penghuni dan keluarga banduan pada Program Jalinan Kasih sempena Hari Ibu.
PERTANDINGAN menghias kek bersama penghuni dan keluarga banduan pada Program Jalinan Kasih sempena Hari Ibu.
Asrizal Aris

“SAYA sangat menyesal kerana gagal menjadi ibu dan anak yang baik sebelum ini,” kata banduan wanita yang mahu dikenali sebagai Ina, 43, selepas dijatuhi hukuman penjara 15 tahun atas kesalahan mengedar dadah.

Ina yang menjalani hukuman penjara selama 10 tahun berkata, dia ditahan polis ketika anak bongsunya berusia lima tahun dan lebih menyedihkan ibunya meninggal dunia selepas setahun dia berada di penjara.

Mengimbas peristiwa 10 tahun lalu, Ina berkata, dia dipengaruhi kenalan untuk mengedar dadah tanpa pengetahuan suaminya dan terjebak dengan kegiatan itu selepas terpedaya dengan pendapatan diterima.

Menurutnya, dia menyesal dengan perbuatan dilakukan namun bersyukur suaminya masih setia serta sanggup menerimanya meskipun melakukan jenayah.

“Saya tidak sabar menunggu masa dibebaskan dan mahu memulakan kehidupan baru dengan suami dan empat anak namun saya masih takut jika anak tidak boleh menerima saya dalam keadaan begini.

“Andai dapat diundurkan masa, saya tidak akan pilih kemewahan, tetapi mahu menjadi yang terbaik untuk anak dan arwah ibu saya,” katanya ketika ditemui pada Program Jalinan Kasih sempena Hari Ibu di Penjara Wanita Kajang, di sini, semalam.

Menurut Ina, dia bersyukur kerana tempoh hukuman penjara yang dijalaninya dikurangkan kepada 10 tahun dan akan dibebaskan Oktober tahun ini.

Sementara itu, Pengarah Penjara Wanita Kajang Zaimiah Parman berkata, banduan wajar diberi peluang menjalani kehidupan sosial dengan masyarakat selepas mereka dibebaskan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2017 @ 5:13 AM