Darussalam (kiri) bersama   Affendi (kanan) melawat  pameran Jabatan Penjara Malaysia  di Masjid Jamek Kampung Baru.
Darussalam (kiri) bersama Affendi (kanan) melawat pameran Jabatan Penjara Malaysia di Masjid Jamek Kampung Baru.
Asrizal Aris

Kuala Lumpur: Bagai mati hidup semula. Itu ungkapan sesuai buat 46 banduan yang mendapat ‘peluang kedua’ selepas dibebaskan lebih awal dari tarikh sebenar tamat hukuman bagi mendekati komuniti luar melalui program Temu Seru Masyarakat Penyayang di Masjid Jamek, Kampung Baru, di sini, semalam.

Program anjuran Jabatan Penjara Selangor dan Kuala Lumpur itu mendapat sokongan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu serta penduduk setempat dalam usaha memberi ruang kepada pesalah untuk menjalankan kehidupan bermasyarakat.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu, Datuk Affendi Zahari berkata, pada masa kini masyarakat perlu mengubah persepsi terhadap bekas penghuni penjara kerana usaha penjara dalam menginsafkan pesalah dilihat semakin berkesan.

“Dulu masyarakat melihat penjara sebuah tempat hukuman, tetapi kini penjara menjadi tempat pendidikan buat pesalah. Tidak hairanlah orang yang keluar penjara mendapat kualiti pembelajaran dan kerjaya yang lebih baik daripada sebelumnya.

“Kebanyakan bekas penghuni penjara ini menerima hidayah ketika menjalani hukuman dan ada antara mereka yang menjadi pendakwah selepas keluar dari situ,” katanya dalam ucapan perasmian program Temu Seru Masyarakat Penyayang.

Menurutnya, program mendekati masyarakat itu membantu pesalah untuk membina semula keyakinan diri dan kembali hidup bermasyarakat dengan komuniti sekeliling.

Sementara itu, Pengarah Penjara Selangor dan Kuala Lumpur, Darussalam Budin berkata, program bertemakan ‘Berilah Mereka Peluang Kedua’ itu adalah penganjuran yang pertama bagi tahun ini.

“Kami menumpukan kawasan masjid sebagai lokasi untuk banduan dari Kuala Lumpur dan Selangor menjalankan aktiviti kemasyarakatan dan saya yakin penduduk setempat boleh menerima mereka dengan baik.

“Mereka (banduan) yang terpilih selepas melihat prestasi mereka yang baik ketika di penjara dan dilepaskan dalam kawalan serta perlu mematuhi syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, orang diparol (ODP) atau banduan yang dibebaskan awal tetapi bersyarat itu boleh menjalankan kehidupan seperti biasa dan dibenarkan untuk pulang ke rumah serta digalakkan bekerja.

Turut hadir dalam program itu Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu, Datuk Mahadi Che Ngah dan Pengerusi Masjid Jamek Kampung Baru, Datuk Idris Shaari Mat Aris.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2016 @ 7:06 AM