MUTHU (kiri) gembira melihat cucunya buat kali pertama, semalam.
MUTHU (kiri) gembira melihat cucunya buat kali pertama, semalam.
Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Seorang banduan lelaki yang sedang menjalani hukuman penjara 16 tahun di Penjara Pokok Sena, di sini, menitis air mata apabila buat pertama kali melihat cucu perempuannya yang baru berusia dua bulan, semalam.

Dia yang mahu dikenali sebagai Muthu, 57, sempat mendukung bayi itu walaupun hanya diberi peluang bertemu dengan keluarganya dalam tempoh sejam pada majlis sambutan Hari Krismas, di sini.

Malah, banduan itu kelihatan gembira apabila isteri, 50-an, dan empat anak serta dua menantu berusia antara 20-an hingga 30-an turut hadir untuk menziarahinya di penjara itu sambil meraikan Hari Krismas buat kali kedua bersama mereka.

Lebih menyedihkan, Muthu berkata, dia juga tidak sempat menghadiri majlis perkahwinan ibu bapa bayi terbabit kerana disumbat ke penjara pada 2011 atas kesalahan membunuh tanpa niat.

“Kalau boleh saya nak cepat keluar dari sini (penjara) kerana rindu untuk bersama keluarga, tetapi apakan daya, saya perlu menjalani hukuman tujuh tahun lagi kerana kesalahan mengikut Seksyen 304, Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat.

“Apabila mengenangkan semula kejadian, saya menyesal. Tetapi, ketika itu saya cuba pertahankan diri kerana mangsa menyerang dan cuba menetak tangan menyebabkan saya menepis sebelum menikamnya dengan pisau secara tidak sengaja.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan saya ditangkap polis tidak lama kemudian. Sejak itu saya menjalani hukuman di sini, ” katanya yang sudah lima tahun menjalani hukuman di penjara itu.

Muthu bersyukur kerana pihak penjara meringankan hukuman ke atasnya dan dijangka dibebaskan pada tahun 2022.

Banduan lain yang hanya dikenali sebagai Johnny, 43, mengakui menyesal kerana terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah sehingga menyebabkan terpaksa meringkuk di dalam penjara berkenaan.

Katanya, dia tertekan sepanjang berada dalam penjara kerana rindukan ibu, bapa dan adik-beradik lain kerana sudah lima tahun berada di dalam tirai besi berkenaan.

“Hari ini (semalam) saya gembira dapat berjumpa mereka sempena sambutan Hari Krismas. Saya bersyukur kerana mereka masih menerima saya dan memberi sokongan untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Johnny ditangkap polis pada 2010 kerana mengedar heroin seberat 200 gram dan ditahan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman mati mandatori.

Bagaimanapun, hukuman ke atasnya diringankan mengikut Seksyen 39B (1)(a), iaitu penjara 25 tahun selepas membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan Putrajaya.

Sementara itu, Penguasa Penjara Pokok Sena S Navinder Singh berkata, sembilan banduan yang sedang menjalani hukuman dibenarkan bertemu keluarga masing-masing dalam Program Jalinan Kasih Sempena Sambutan Hari Krismas yang diadakan setiap tahun.

Katanya, ia bertujuan mengeratkan hubungan antara keluarga dengan banduan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2015 @ 9:42 AM