HAMDDIE turut serta dalam operasi mencari rakannya yang hilang.
HAMDDIE turut serta dalam operasi mencari rakannya yang hilang.

Muara Tebas: “Sejak 10 tahun menjadi nelayan, cucu saudara saya itu tidak akan turun ke laut setiap Khamis. Tak sangka semalam (kelmarin) dia turun ke laut, mungkin itu petanda ada sesuatu yang buruk berlaku.

“Saya berharap dia akan ditemui selamat,” kata Razamah Ahmad, 50, nenek saudara kepada nelayan Razali Pet, 36, yang hilang selepas bot dinaikinya bersama seorang rakan karam dipukul gelora di Tanjung Po, di sini, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 11 malam itu berlaku ketika bot yang dinaiki mangsa bersama Hamddie Jarawi, 47, dalam perjalanan pulang ke jeti nelayan di Kampung Muara Tebas, di sini, selepas keluar ke laut petang sebelumnya.

Ketika kejadian, Hamddie dapat menyelamatkan diri apabila berenang ke pantai dengan berpaut pada tong minyak bot mereka.

Razamah berkata, berdasarkan cerita yang dimaklumkan Hamddie, ketika bot dinaiki mereka terbalik, kedua-dua nelayan itu sempat berpaut pada tong minyak itu untuk berenang ke pantai.

Menurutnya, ketika berenang ke pantai, mereka berdua dipukul ombak besar dan Hamddie ada memanggil Razali sebanyak dua kali, namun panggilan itu tidak disahut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2016 @ 10:24 AM