BOT gantian kaca yang dinaiki empat nelayan yang terbalik dipukul ombak di muara Kuala Dungun.
BOT gantian kaca yang dinaiki empat nelayan yang terbalik dipukul ombak di muara Kuala Dungun.
Rosli Ilham


Dungun: “Dua kali ombak besar bergulung dan memukul bot hingga terbalik menyebabkan kami tercampak ke laut,” kata Mohamad Ramlee Yusof, 47, selepas bot gantian kaca dinaiki bersama tiga nelayan lain terbalik dalam kejadian di muara Kuala Dungun di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.50 pagi itu, turut berada dalam bot itu dan hampir lemas ialah Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Dungun Alaudin Ali, 45, Mohamad Jaafar, 61, serta Mohamad Said, 60.

Bagaimanapun, semua mereka terselamat selepas sempat berpaut pada bot selama lebih sejam sebelum diselamatkan bot nelayan lain.

Mohamad Ramlee berkata, mereka berempat mengambil keputusan ke laut berikutan keadaan cuaca yang agak baik sebelum kejadian itu.

“Bagaimanapun, selepas kira-kira satu kilometer perjalanan ketika meredah kawasan cetek, tiba-tiba bot yang kami naiki dipukul ombak sebelum pukulan ombak kali kedua menyebabkan kami melambung dan terjatuh ke laut.

“Berikutan kejadian itu, enjin dan bot sepanjang 10 meter milik saya mengalami kerosakan dan kerugian dianggarkan hampir RM60,000,” katanya.

Sementara itu, Alaudin pula berkata, dia sempat menjerit kepada rakan lain supaya berenang dan berpaut pada bot yang terbalik sebaik mereka tercampak ke laut.

“Kami mengambil masa setengah jam berenang untuk menghampiri bot sebelum dapat berpaut. Tiga rakan yang kesejukan selepas hampir sejam berpaut pada bot kemudian mengambil keputusan berenang ke darat.

“Bagaimanapun, saya tidak membenarkan mereka berbuat demikian kerana jarak ke darat lebih satu kilometer boleh menyebabkan mereka keletihan dan berdepan kesukaran. Saya tidak mahu nasib mereka sama seperti yang menimpa empat nelayan yang lemas pada Ogos lalu,” katanya.

Menurutnya, dia bersama rakannya bernasib baik apabila seorang nelayan, Azmi Awang yang melihat kejadian itu bersama dua nelayan lain segera mengambil bot sebelum bergegas menyelamatkan mereka.

Seorang lagi mangsa, Mohamad Said berkata, kejadian itu menyebabkan wang simpanannya sebanyak RM1,200 yang dibawa turut hilang.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2017 @ 4:44 AM