Empat nelayan diselamatkan selepas empat jam terapung di laut apabila bot mereka karam di perairan Tanjung Po, semalam. FOTO IHSAN MARITIM MALAYSIA
Empat nelayan diselamatkan selepas empat jam terapung di laut apabila bot mereka karam di perairan Tanjung Po, semalam. FOTO IHSAN MARITIM MALAYSIA
Mohd Roji Kawi


Kuching: Empat nelayan terselamat selepas terapung selama empat jam di laut apabila bot dinaiki mereka, karam dipukul ombak di perairan dekat sini, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 12.55 tengah hari.

Beliau berkata, empat nelayan terbabit diselamatkan oleh nelayan lain yang menaiki sampan dan menemui mereka di perairan Tanjung Po.

"Semua mangsa kemudian terus dibawa ke jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) di Muara Tebas.

"Setibanya di jeti, mangsa diberikan rawatan awal oleh anggota APMM, sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Bako.

"Pihak klinik kemudian membenarkan mereka pulang selepas mendapati tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Difahamkan, ketika kejadian, nelayan berusia antara 26 hingga 56 tahun itu keluar ke laut menaiki sebuah bot nelayan kelas B dari Jeti Nelayan Kampung Beladin, kira-kira 4 pagi semalam.

Bagaimanapun, selepas kira-kira empat jam di laut, ombak besar menyebabkan bot mereka karam di lokasi, kira-kira 3.5 batu nautika dari Tanjung Po.

Berdasarkan keterangan empat nelayan terbabit, mereka tidak sempat memakai jaket keselamatan.

Mereka terpaksa berpaut pada sebatang kayu kira-kira empat jam sebelum diselamatkan oleh nelayan yang menaiki sampan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 10:32 AM