Bot digunakan empat nelayan dihanyutkan ke kawasan benteng pemecah ombak di Kuala Dungun. FOTO/ Rosli Ilham
Bot digunakan empat nelayan dihanyutkan ke kawasan benteng pemecah ombak di Kuala Dungun. FOTO/ Rosli Ilham
Rosli Ilham


EMPAT nelayan termasuk Pengerusi Persatuan Nelayan Dungun nyaris lemas selepas bot gentian kaca yang dinaiki terbalik kerana dipukul ombak di muara Kuala Dungun, hari ini.

Dalam kejadian 6.50 pagi itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Dungun Alaudin Ali, 45, bersama Mohamad Ramlee Yusoff, 47, Mohamad Jaafar, 61, dan Mohamad Said, 60, berjaya diselamatkan nelayan lain.

Ketika itu, mereka dalam perjalanan ke laut untuk menangkap ikan sebelum dipukul ombak besar sebaik berada di muara hingga menyebabkan kesemuanya tercampak dari bot.

Alaudin berkata, mereka kemudiannya terpaksa berenang sambil melawan ombak kuat dan berpaut pada bot yang terbalik.

Dia turut meminta semua rakannya supaya tidak melepaskan pegangan pada bot kerana ada yang membuat keputusan untuk berenang ke daratan.

“Saya tidak benarkan mereka berbuat demikian kerana saya bimbang dihanyutkan dan lemas seperti tragedi menimpa empat nelayan pada Ogos lalu.

“Kami berpaut pada bot selama sejam sebelum sebuah bot nelayan datang menyelamatkan kami,” katanya.

Nelayan berkenaan yang selamat dibawa ke daratan, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun mengenai kejadian terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2017 @ 1:14 PM