Alor Gajah: Mahkamah Majistret Alor Gajah, di sini, memerintahkan 20 individu termasuk empat wanita membayar denda keseluruhan RM28,000 selepas mereka mengaku salah atas kesalahan menggunakan lorong kecemasan, pada Mei lalu.

Pengakuan bersalah itu dirakam di hadapan Majistret Nor Azizah Yusof selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa.

Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan berasingan, 16 lelaki dan empat wanita berusia 23 hingga 65 tahun itu didakwa memandu kenderaan di lorong kecemasan di KM222, Lebuhraya Utara- Selatan arah utara pada jam 5 petang, 22 Mei lalu.

Justeru, mereka didakwa di bawah Kaedah 53(1) Kaedah Lalulintas Jalan Raya 1959 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1959 yang memperuntukkan denda hingga RM2,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-dua sekali.

Akhbar ini sebelum ini melaporkan pada 22 Mei lalu dipercayai tindakan pengguna lebuh raya terbabit yang menggunakan lorong kecemasan menyebabkan bantuan kecemasan membabitkan kemalangan di KM228 Lebuhraya PLUS berhampiran Hentian Sebelah Pedas Linggi (Negeri Sembilan), gagal tiba secepat mungkin sehingga dua beradik penunggang dan pembonceng motosikal maut di tempat kejadian dan ketika dalam perjalanan ke hospital.

Terdahulu ketika prosiding berjalan, Pegawai Pendakwa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Nur Azmina Jacqueline Abdullah memohon semua pesalah dikenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam.

Selepas mendengar rayuan, Nur Azizah memerintahkan setiap pesalah membayar denda RM1,000 hingga RM2,000 dengan hukuman penjara sebulan hingga dua bulan jika mereka gagal membayar denda dan semua pesalah membayar denda itu.

Untuk rekod, ini pertuduhan dan hukuman pertama ke atas pesalah trafik yang melakukan kesalahan menggunakan lorong kecemasan di negara ini.

Bagaimanapun, agak menggelikan hati apabila mendengar alasan pesalah ketika merayu hukuman denda diringankan.

Ada yang memberi alasan sekadar mengikut pemandu lain menggunakan lorong kecemasan, kereta rosak, mempunyai masalah kesihatan seperti baru menjalani pembedahan lutut, tidak tahan membuang air kecil dan sebagainya.

Malah, ada dalam kalangan mereka cuba mengelirukan Majistret dengan mendakwa membuka lorong baharu kerana berlaku kesesakan selain memberi laluan kepada ambulans untuk melepasi kesesakan jalan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2016 @ 6:51 AM
ANTARA pesalah menggunakan lorong kecemasan yang didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah.
ANTARA pesalah menggunakan lorong kecemasan yang didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah.