ANTARA pengguna jalan raya membayar saman atas kesalahan menggunakan lorong laluan kecemasan di kaunter bayaran, Kompleks Mahkamah Alor Gajah. FOTO Rasul Azli Samad
ANTARA pengguna jalan raya membayar saman atas kesalahan menggunakan lorong laluan kecemasan di kaunter bayaran, Kompleks Mahkamah Alor Gajah. FOTO Rasul Azli Samad
Mohd Hilmie Hussin


Alor Gajah: Seramai 19 lagi pesalah trafik termasuk seorang lelaki warga Singapura didenda keseluruhan RM29,100 selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tuduhan menggunakan lorong kecemasan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Mei lalu.

Pengakuan bersalah itu dirakamkan di hadapan Majistret Nor Azizah Yusof selepas semua tertuduh mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan jurubahasa.

Berdasarkan pertuduhan, semua tertuduh termasuk seorang wanita berusia 25 hingga 63 tahun itu didakwa memandu kenderaan di lorong kecemasan di KM22 Lebuhraya PLUS arah utara pada jam 5 petang, 22 Mei lalu.

Justeru, mereka didakwa mengikut Kaedah 53(1) Kaedah Lalulintas Jalan Raya 1959 dan boleh dihukummengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1959 yang memperuntukkan denda hingga RM2,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-dua.

Pegawai Pendakwa JPJ Fadzil Abu mengendalikan kes terbabit memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Pelbagai rayuan dikemukakan pesalah trafik termasuk alasan sakit perut dan mahu ke tandas.

Nor Azizah selepas itu memerintahkan 17 pesalah dikenakan denda RM1,500, seorang RM1,600 dan seorang RM2,000 dengan syarat penjara sekitar sebulan hingga dua bulan penjara jika gagal membayar denda dan semua pesalah membayar denda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2016 @ 1:41 PM