ANGGOTA  bomba  membersihkan jalan yang dipenuhi beras.
ANGGOTA bomba membersihkan jalan yang dipenuhi beras.

Tanjung Karang: Suasana di Jalan Parit 4, Sekinchan di sini, bagaikan ‘pesta’ apabila segelintir penduduk berpusu-pusu mengutip 14 tan beras bertaburan akibat kerosakan dialami lori.

Dalam kejadian jam 6.50 pagi, lori menuju ke sebuah kilang di Subang Jaya itu mengalami kerosakan di dindingnya hingga menyebabkan sebahagian besar beras tercicir di atas jalan.

Keadaan itu menimbulkan kesukaran kepada bomba untuk membersihkan kawasan itu berikutan puluhan penduduk meletakkan kenderaan di bahu jalan sehingga mengganggu lalu lintas.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Karang Arbain Saarani berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 7 pagi.

Menurutnya, operasi membersihkan jalan raya dipenuhi beras di dua kawasan berasingan pada jarak 500 meter itu terganggu berikutan tindakan orang awam mengutip beras itu.

“Tiada kemalangan jiwa berlaku, tetapi tindakan penduduk berkumpul untuk mengutip beras yang bertaburan dianggap tidak bermoral dan dipercayai tidak mendapat kebenaran pemiliknya,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Kata Arbain, kerja pembersihan mengambil masa hampir sejam berikutan saiz kawasan agak luas.

“Kemalangan dipercayai akibat keadaan jalan tidak rata dan dua kampit beras bersaiz besar tumpah kerana kerosakan dinding kiri lori,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2016 @ 9:02 AM