Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: "Sebaik pulang dari surau, saya dapati orang ramai berkumpul di halaman rumah. Saya cemas sebaik dimaklumkan isteri dihantar ke hospital akibat melecur terbakar," ujar Arbain Ahmad, 54.

Dalam kejadian kira-kira 7.40 malam semalam, isteri Arbain, Safiah Abd Wahab, 52, melecur di kedua-dua lengan dipercayai cuba memadam kebakaran rumah didiami di Kampung Parit 3, Ban 1, Sungai Burong di sini.

Turut musnah dalam kebakaran itu adalah motosikal milik ahli keluarga Arbain yang diletakkan di dalam rumah.

Arbain berkata, sebelum kejadian, dia pergi ke surau untuk menunaikan solat Maghrib.

"Selepas solat, saya berehat di beranda surau sementara menunggu waktu Isyak. Tiba-tiba saya terdengar bunyi siren jentera bomba menyebabkan saya segera pulang ke rumah.

"Sepanjang perjalanan pulang, saya berasa seolah-olah ada sesuatu buruk berlaku. Tidak sangka telahan saya itu menjadi kenyataan," katanya tadi.

Arbain berkata, jirannya memaklumkan ternampak api susulan letupan pada wayar elektrik terletak di tepi rumah.

"Dia (jiran) bergegas ke rumah kami untuk membantu. Dalam masa sama, isteri dan anak-anak berjaya menyelamatkan diri tetapi isteri tiba-tiba rebah dan pengsan di belakang rumah.

"Jiran kemudian membawa isteri ke Hospital Tanjong Karang (HTK) untuk rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

"Ketika ini saya belum berkesempatan untuk melihat keadaan isteri. Moga Allah SWT memudahkan segala urusan kami sekeluarga," katanya yang mendakwa kerugian kira-kira RM 50,000.

Menurutnya, dia bersyukur pihak bomba tiba awal untuk memadamkan kebakaran namun terkilan dan sedih rumah yang dibina sejak 20 tahun lalu musnah sekelip mata.

Arbain berkata, ketika ini dia berdoa isterinya segera sembuh dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.58 malam semalam.

"Sepasukan 21 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang, BBP Sekinchan dan BBP Sungai Besar dikejarkan ke lokasi.

"Kebakaran berjaya dikawal pada 8.09 malam. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 4:50 PM
ARBAIN menunjukkan lokasi isterinya rebah dan pengsan selepas menyelamatkan diri dalam kebakaran di rumah. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
ARBAIN menunjukkan lokasi isterinya rebah dan pengsan selepas menyelamatkan diri dalam kebakaran di rumah. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN