SHAHROM (kiri) bersama rakan penjelajah bergambar di titik sifar Kutub Selatan.
SHAHROM (kiri) bersama rakan penjelajah bergambar di titik sifar Kutub Selatan.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Penjelajah negara ke Kutub Selatan Shahrom Abdullah, 37, berjaya melengkapkan misi Ekspedisi KE7B Rentas Kutub Selatan 2015 jam 4.30 pagi, semalam.

Lebih menggembirakan, Shahrom tiba lebih awal di mercu tanda titik sifar darjah Kutub Selatan iaitu dalam tempoh 37 hari dan empat jam berbanding jangkaan 50 ke 60 hari yang disasarkan sebelum ini.

Anak jati FELDA Chiku, Gua Musang, Kelantan yang juga atlet sukan lasak duatlon dan triatlon negara itu menamatkan misi dengan berski dari Messner Inlet ke titik sifar darjah Kutub Selatan sejauh 890 kilometer.

Kegembiraan itu turut dikongsi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui akaun Facebook (FB) dan Twitter beliau petang semalam.

Najib mengucapkan tahniah kepada Shahrom kerana menjadi penjelajah pertama Malaysia merentasi Kutub Selatan menggunakan ski menamatkan misi lebih awal daripada jangkaan.

“Ini bukti rakyat Malaysia mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan atlet sukan lasak lain di peringkat antarabangsa. Tahniah Shahrom Abdullah, Penjelajah Negara,” tulis beliau.

Dalam pada itu, Penasihat Ekspedisi Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof yang juga Setiausaha Akhbar Perdana Menteri berkata, kejayaan diraih Shahrom membuktikan anak Malaysia mampu melakukan apa saja cabaran, selain menandakan satu lagi pencapaian bertaraf dunia yang berjaya dicatat oleh rakyat Malaysia.

“Kejayaan dan pencapaian Shahrom wajar menjadi kebanggaan kepada seluruh rakyat Malaysia kerana Shahrom menjadi rakyat Malaysia pertama melakukan ekspedisi merentas Kutub Selatan sejauh 1,000 kilometer menggunakan ski.

Sementara itu, Presiden KE7B Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin ketika dihubungi melahirkan rasa syukur ia satu kejayaan baru dilakar KE7B selaku pengelola misi ekspedisi itu.

“Kami di dalam KE7B sekadar berperanan melahirkan lebih ramai ikon untuk negara dan juga mencipta sesuatu yang baru untuk rakyat Malaysia banggakan di peringkat antarabangsa,” katanya.

KE7B sebelum ini melahirkan 24 ikon negara iaitu seorang pendaki tujuh benua, tujuh perenang Selat Inggeris, tujuh pendaki puncak tertinggi dunia iaitu Gunung Everest, lapan penjelajah Greenland dan seorang penjelajah Kutub Selatan.

Menurut Qobin, Shahrom dijangka pulang ke tanah air Jumaat ini.

Kata beliau, pihaknya membuat persiapan menyambut kepulangan Shahrom ke tanah air selepas mendapat pengesahan tarikh penerbangannya pulang dari Buenos Aires, Argentina.

Shahrom memulakan ekspedisinya pada 9 Disember 2015, namun terpaksa memulakan dua minggu lewat dari jadual asal akibat masalah penerbangan dari Union Glacier ke Messner Inlet kerana cuaca tidak mengizinkan.

Dalam misi itu, Shahrom membawa bekas air istimewa I-MIZU, tajaan syarikat Bumiputera yang membolehkan Shahrom menggunakannya untuk menukar air daripada salji yang dicairkan untuk diminum sebagai air hidrogen beralkali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2016 @ 5:17 AM