JONAH Chang (tengah) berjaya memadamkan rekod kebangsaan miliknya sendiri. FOTO Ihsan Kesatuan Olahraga Malaysia
JONAH Chang (tengah) berjaya memadamkan rekod kebangsaan miliknya sendiri. FOTO Ihsan Kesatuan Olahraga Malaysia
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Atlet lontar peluru negara, Jonah Chang Rigan mempamerkan prestasi terbaik dalam kejohanan olahraga Terbuka Pahang hari ini apabila berjaya memecah rekod kebangsaan sebanyak tiga kali dalam acara berkenaan.

Ia boleh dikatakan hari yang bertuah buat atlet kelahiran Sarawak itu apabila pada awal melakukan lontaran dengan 17.69 meter (m) kemudian 18.09m sebelum melakukan 18.46m pada percubaan terakhir untuk memadam rekod lama iaitu 17.6m.

Menurutnya, dia tidak menyangka akan mempamerkan aksi terbaik dan melakukan lebih dari satu rekod dalam kejohanan yang sama.

"Saya tidak pernah menjangkakan untuk memecahkan rekod kebangsaan saya tiga kali dalam satu pertandingan.

"Ia adalah impian yang menjadi kenyataan bagi saya untuk melepasi jarak 18 meter, yang telah saya cuba capai sejak tahun lepas," katanya.

Lebih manis, dirinya memadam rekod miliknya sendiri dan ini sudah pasti motivasi terbaik untuk menghadapi kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia bulan depan dan Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak Ogos nanti.

Untuk rekod, atlet berusia 21 tahun juga menjadi atlet pertama melepasi jarak 18 meter.

Pingat perak dimenangi oleh Kamal Farhan Abdul Rahman dari Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dengan lontaran 15.15m dan Wan Irfan Wan Tahar dari Kelantan di tempat ketiga dengan catatan 14.20m.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 9:50 PM