PENYOKONG Selangor berdiri dan tepuk tangan ketika perlawanan berlangsung. FOTO SYAZWAN MSAR
PENYOKONG Selangor berdiri dan tepuk tangan ketika perlawanan berlangsung. FOTO SYAZWAN MSAR
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Semua penyokong Selangor FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC berdiri sambil menepuk tangan pada minit ke-7 sebagai tanda solidariti kepada pemain Harimau Malaya Faisal Halim yang menjadi mangsa simbahan asid, baru-baru ini.

Situasi terbabit adalah kali pertama membabitkan perlawanan Liga Super dengan ribuan penyokong berdiri dan tepuk tangan ketika perlawanan berlangsung sebagai tanda penghormatan kepada pemain bola sepak negara.

Penyokong kedua-dua pasukan yang hadir ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sejak jam 4 petang itu turut memegang kertas yang ditulis 'get well soon Mickey' sebagai tanda sokongan kepada pemain berusia 26 tahun itu.

Pada masa sama, terdapat penyokong Selangor FC memakai baju'hitam yang tertera Stand with Faisal Halim, stop the violence.

Perlawanan pertama membabitkan Selangor FC pada musim ini turut diserikan dengan tifo Faisal memakai jersi Selangor bernombor tujuh yang cukup sinonim dengan pemain itu.

Mengikut rekod, aksi Liga Super antara Selangor FC dan KDA FC di Stadium MBPJ bakal menyajikan keunikan tersendiri.

Ia selepas tuan rumah mengajak penyokong Red Giants dan pelawat untuk sama-sama memberi penghormatan sebagai tanda solidariti kepada bintang bola sepak negara, Faisal.

Menerusi perkongsian Selangor FC di laman sosial kelab itu, penyokong diminta untuk berdiri dan memberikan tepukan gemuruh buat Faisal pada minit ketujuh perlawanan.

Berikutan itu, tiket perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan berjumlah 10,661 habis terjual hanya dalam tempoh beberapa hari saja.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 8:33 PM