JEMAAH dikehendaki memakai lanyard ke mana saja mereka pergi.
JEMAAH dikehendaki memakai lanyard ke mana saja mereka pergi.
Husain Jahit


Makkah: Prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) berkaitan aspek keselamatan jemaah ketika berada di Tanah Suci sudah mencukupi untuk petugas dengan berlandaskan sistem pengurusan ISO 9001 2015 perkhidmatan haji.

Pengarah Operasi Maktab, Lembaga Tabung Haji (TH) Khairoddin Ahmad, berkata ini adalah prosedur yang perlu dipatuhi untuk berdepan sebarang kemungkinan termasuk musibah seperti kejadian kren tumbang dan rempuhan Mina.

"Selain SOP, Tabung Haji akan berdepan cabaran terbesar yang dihadapi semasa operasi Masyair dengan mengikut sistem pengurusan berkenaan. Ia termasuk dari segi persiapan untuk membawa jemaah haji ke Arafah, Muzdalifah, Mina dan patah balik ke penginapan di Makkah.

"Kerjasama ini amat penting dan kita mendapat kerjasama daripada pasukan petugas di Jeddah dan Madinah.

"Kita akan ada kekuatan anggota yang mencukupi. Selain itu kita perlu komunikasi dengan baik lebih-lebih lagi dalam menghadapi cabaran operasi Masyair nanti," katanya lagi kepada Petugas Media TH, di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Khairoddin berkata, terdapat 12 maktab meliputi 18 bangunan penginapan di Makkah dengan setiap maktab menempatkan 3,000 jemaah.

Menurutnya, pengurus antara orang yang dipertanggungjawabkan dalam memastikan keselesaan jemaah sebelum mereka sampai dengan memastikan segala keperluan mengikut standard yang ditetapkan.

"Bagi musim haji kali ini, Pasukan Pusat Perkhidmatan Maktab 87 dianggotai 106 petugas termasuk 14 orang di pejabat selain dua Pembimbing Ibadat Haji di Tanah Suci (Pihtas).

"Sementara menunggu operasi Masyair kita penuhkan dengan program dan pengisian ibadah haji supaya jemaah kita bersedia," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 9:38 PM