EKSPEDISI Jelajah Kutub Selatan bakal mengharumkan nama negara di mata dunia.
EKSPEDISI Jelajah Kutub Selatan bakal mengharumkan nama negara di mata dunia.
SELAIN Malaysia, program latihan itu turut disertai pendaki gunung dari Amerika Syarikat, penjelajah dari Norway dan penjelajah dari United Kingdom bersama anaknya.
SELAIN Malaysia, program latihan itu turut disertai pendaki gunung dari Amerika Syarikat, penjelajah dari Norway dan penjelajah dari United Kingdom bersama anaknya.
PENULIS (kiri) bersama Shahrom dan Qobin ketika berehat di dalam khemah.
PENULIS (kiri) bersama Shahrom dan Qobin ketika berehat di dalam khemah.
KEITH Heger (kiri) dan Eric Lillstrom bertanggungjawab melatih  Shahrom
KEITH Heger (kiri) dan Eric Lillstrom bertanggungjawab melatih Shahrom
PEKAN kecil di kawasan Antartika yang menyediakan keperluan pelancong dan jurupandu.
PEKAN kecil di kawasan Antartika yang menyediakan keperluan pelancong dan jurupandu.
WAKTU siang lebih panjang, iaitu 22 jam berbanding waktu malam.
WAKTU siang lebih panjang, iaitu 22 jam berbanding waktu malam.
Oleh Hazran Mohamed


Nama Shahrom Abdullah tidak asing lagi dalam kalangan peminat sukan lasak di negara ini, khususnya acara duathlon dan triathlon terutama kejohanan Powerman dan Ironman yang disertainya sejak lebih sedekad lalu.

Kini, Shahrom memasang impian lebih besar iaitu mahu mencipta sejarah bagi diri dan negara melalui penjelajahan ke Antartika, akhir tahun ini.

Menerusi Misi Ekspedisi Jelajah Kutub Selatan Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia, KE7B, Shahrom bakal melakar satu lagi sejarah dengan sasaran mencipta rekod terbaru rakyat Malaysia pertama menjelajah menggunakan ski di Kutub Selatan dengan jarak kira-kira 1,000 kilometer.

Ekspedisi itu dijadual bermula dari Messner Inlet dan berakhir di titik kosong darjah Kutub Selatan.

Misi ini berbeza dengan dilakukan Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir pada tahun 2004.

Menurut Presiden KE7B, Muhamad Muqarabbin Mokhtarrudin atau Qobin, Shahrom dijadual memulakan misinya, awal November ini.

“Selepas misi Renangan Selat Inggeris 2012, Misi Everest Anak FELDA 2013 dan Misi Jelajah Greenland 2014, KE7B kini tampil dengan satu lagi misi untuk menaikkan nama negara dengan menghantar seorang lagi anak Malaysia yang terbukti memiliki ketahanan fizikal dan mental untuk mengharungi cabaran cuaca ekstrem di Antartika.

“Ekspedisi menggunakan ski dan menarik beban ‘sledge’ itu dijangka memakan masa 50 hingga 60 hari,” katanya.

Sebagai persediaan, Shahrom bersama Qobin baru-baru ini terbang ke Longyearbyen, sebuah pulau berais di utara Norway kira-kira 1,300 kilometer dari Kutub Utara bagi menjalani latihan penyesuaian cuaca sejuk ekstrem.

Penulis yang turut serta dalam latihan itu merasai sendiri pengalaman berski sambil menarik beban peralatan seberat lebih 70 kilogram di tengah-tengah pergunungan salji Longyearbyen dengan suhu mencecah negatif 25 darjah Celsius.

Lokasi itu sesuai untuk mengukur tahap ketahanan diri dan proses penyesuaian dengan keadaan cuaca sejuk dan suhu melampau.

Selain Shahrom, Qobin dan penulis, program latihan di Longyearbyen itu turut disertai pendaki gunung dari Amerika Syarikat, penjelajah dari Norway serta penjelajah dari United Kingdom bersama anak remajanya berusia 16 tahun.

Latihan dikendalikan dua jurulatih syarikat Polar Explorers iaitu Keith Heger dan Eric Lillstrom dari Amerika Syarikat.

Shahrom didedahkan dengan kemahiran ski, memasang khemah dan kemandirian di kawasan sejuk seperti memasak makanan dan mempro­ses salji untuk dijadikan air minuman.

“Ini pertama kali saya berada dalam situasi cuaca sejuk yang ekstrem dan tidur di dalam khemah di tengah-tengah salji. Banyak perkara baru saya pelajari yang berbeza sama sekali.

“Alhamdulillah, saya dapat mengharunginya di bawah tunjuk ajar jurulatih berpengalaman,” katanya.

Sementara itu, Keith Heger melihat Shahrom cukup bersedia dan tidak menghadapi masalah dari segi ketahanan fizikal berikutan dia seorang atlet sukan lasak.

Sepanjang latihan di Longyearbyen, Shahrom turut didedahkan teknik menyusun peralatan di dalam sledge mengikut keperluan dan penggunaannya ketika ekspedisi.

Selain itu, Eric Lillstrom turut mengajar kaedah mengelak anggota tubuh daripada diserang reput fros jika cuaca buruk dan suhu jatuh mendadak di Antartika.

Di Longyearbyen, selain cabaran suhu sejuk melampau di bawah paras beku, Shahrom turut berdepan cabaran menyesuaikan diri dengan fenomena waktu siang yang lebih panjang dan malam sangat singkat.

Matahari kelihatan hampir sepanjang 22 jam dan suasana waktu tengah malam antara jam 2 hingga 5 pagi, sama seperti waktu senja jam 7 malam di mana tidak gelap sepenuhnya seperti waktu malam yang biasa kita alami.

Secara relatifnya, suhu di bumi Antartika sekitar negatif 85 hingga negatif 90 darjah Celsius pada musim sejuk dan negatif 40 darjah Celsius pada musim panas. Keadaan itu menjadikan Antartika kawasan paling sejuk di muka bumi.

Benua Antartika mempunyai keluasan 14 juta kilometer persegi, atau kira-kira 42 kali ganda saiz Malaysia. Ia benua terpencil serta berais sepenuhnya dan hanya ditemui manusia pada awal abad ke-19.

Kira-kira 98 peratus daripada benua itu diliputi air batu yang secara puratanya mencapai 2.3 kilometer dengan ketebalan tertinggi mencapai 4.7 kilometer di Wilkes Land.

Benua itu terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Antartika Timur dengan keluasan 7.77 juta kilometer persegi, Antartika Barat (6.475 kilometer persegi) dan Semenanjung Antartika.

Banjaran Trans Antartika menjadi pemisah benua itu kepada timur dan barat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2015 @ 11:20 AM