Shahrom memeluk  ibunya pada Majlis Meraikan Wira Negara Ekspedisi Merentas Kutub Selatan, semalam.
Shahrom memeluk ibunya pada Majlis Meraikan Wira Negara Ekspedisi Merentas Kutub Selatan, semalam.

Kuala Lumpur: “Tujuh hari sebelum anak tamat ekspedisi menjelajah Kutub Selatan, saya mimpi dia jatuh daripada ski menyebabkan saya terjaga dan tidak dapat tidur sepanjang malam itu.

“Rupa-rupanya dia dalam kesusahan kerana berhadapan cabaran getir berikutan keadaan cuaca melampau -27 darjah Celsius dan mengalami sesak nafas pada jarak 100 meter menghampiri kutub berkenaan,” kata Unaizah Mohd, 63.

Unaizah, ibu Shahrom Abdullah, 37, iaitu penjelajah negara ke Kutub Selatan yang melengkapkan misi ekspedisi Kelab Ekspedisi 7 Benua (KE7B) Rentas Kutub Selatan 2015, pada 16 Januari lalu.

Kejayaan anak peneroka Felda Ciku 2, Wilayah Gua Musang, Kelantan itu mengharumkan nama negara kerana menamatkan misi berkenaan dalam tempoh 37 hari empat jam dan sampai ke mercu tanda yang menjadi titik pusat Kutub Selatan di muka bumi, lebih awal berbanding tempoh sebenar iaitu antara 50 hingga 60 hari.

Dalam misi itu, Shahrom hanya berski dari Messner Inlet ke titik sifar darjah Kutub Selatan sejauh 890 kilometer selepas memulakan ekspedisi pada 9 Disember lalu.

Dia mengetahui pengalaman buruk menimpa anaknya itu apabila pulang ke tanah air pada 22 Januari lalu.

Unaizah ditemui pada Majlis Meraikan Wira Negara Ekspedisi Merentas Kutub Selatan di Menara FELDA yang dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim dan Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad, semalam.

Pada majlis itu, Shahrom turut menerima insentif berjumlah RM20,000 daripada FELDA sebagai penghargaan ke atas kejayaannya.

Menurutnya, dalam tempoh itu dia memperbanyakkan solat hajat dan tahajud bagi mendoakan keselamatan anaknya selain meredakan kegusaran di hati.

“Saya sangat gembira anak pulang selamat, lebih-lebih lagi menamatkan misi itu dalam tempoh lebih awal daripada jangkaan.

“Saya tidak halang apabila dia menyuarakan hasrat mahu merentas Kutub Selatan kerana itu minat Shahrom terhadap aktiviti lasak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2016 @ 7:02 AM