Muhamad Lokman Khairi


Tanjung Malim: "Di luar saya kelihatan kuat, di dalam saya menangis pada tengah malam. 20 tahun bersama dengan saya. Dua tahun pergi ke Ulu Tiram, pulang kepada saya terbujur kaku".

Demikian kata bapa Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar iaitu Azhar Khaiden, 54, sebaik jenazah anaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Poh, dekat Bidor, di sini jam 7.20 malam hari ini.

Azhar berkata, hatinya sebak dan tidak mampu menahan air mata sewaktu melihat keranda anaknya yang mesra dipanggil Ami, sepanjang tujuh jam perjalanan dari Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor ke kediaman mereka di sini, hari ini.

"Bila pandang (keranda Ami), menitik air mata, dan apabila saya mengimamkan solat jenazah di rumah tadi, saya tak boleh lagi tahan (menangis).

"Sebelum ini, kita boleh nampak dia, tetapi sekarang sudah hilang dari pandangan mata. Itu takdir yang saya alami, siapa yang pernah alami pasti lebih memahami.

AZHAR bercakap kepada pemberita selepas jenazah anaknya, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Poh, dekat Bidor, hari ini. FOTO Muhamad Lokman Khairi
AZHAR bercakap kepada pemberita selepas jenazah anaknya, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Poh, dekat Bidor, hari ini. FOTO Muhamad Lokman Khairi

"Kalau anak kucing yang kita bela mati pun kita sedih, inikan pula anak kandung sendiri," katanya selepas merakam penghargaan kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang hadir ke tanah perkuburan bagi membantu proses menguruskan jenazah Ahmad Azza Fahmi, hari ini.

Turut memberikan penghormatan terakhir, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dan Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi.

Azhar yang bertugas sebagai guru Sekolah Kebangsaan Sungai Felda Sungai Klah berkata, isterinya, Nurhaliza Awaluddin, 49, masih bersedih mengenangkan pemergian mengejut anak keempat daripada lapan beradik itu lantaran insiden tidak dijangka awal pagi semalam.

Menurutnya, bagi memulihkan semangat isterinya itu, beliau sekeluarga berharap agar PDRM mempertimbangkan memindahkan abang Ami iaitu Lans Koperal Ahmad Azza Fitri Azhar, 24, yang bertugas di Balai Polis Pulau Gaya, Sabah ke Perak.

"Anak lelaki kami ada dua, seorang sudah pergi. Seorang lagi ada tapi jauh, tolong dekatkan supaya pulihkan semangat isteri saya," katanya.

Azhar berkata, adik perempuan Ami iaitu Nur Azza Assyaadah, 19, akan menghadiri temu duga bagi memohon perjawatan polis di Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Ipoh pada Selasa ini.

Katanya, beliau berharap anaknya itu boleh menjadi galang ganti kepada Ahmad Azza Fahmi dalam berkhidmat kepada negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 9:46 PM