PETUGAS Pusat Khidmat Pelanggan TH mengendalikan masalah dihadapi pelanggan. FOTO Hussain Jahit.
PETUGAS Pusat Khidmat Pelanggan TH mengendalikan masalah dihadapi pelanggan. FOTO Hussain Jahit.
Husain Jahit


Makkah: Masalah kehilangan lanyard dan gelang haji menjadi aduan paling banyak diterima oleh Bahagian Khidmat Pelanggan, Lembaga Tabung Haji (TH) yang menerima 71 aduan setakat 9 Mei lalu.

Pengurusnya, Mohamad Zakee Mohd Zaludin, berkata jemaah haji Malaysia diingatkan supaya sentiasa menjaga tanda pengenalan yang diberikan oleh TH sepanjang masa ketika berada di Tanah Suci bagi memastikan mereka dapat dikenali dan dibantu jika berlaku sebarang kejadian luar jangka.

"Kita nasihatkan semua jemaah haji kita untuk menjaga sebaik mungkin tanda pengenalan masing-masing seperti lanyard, lencana dan juga gelang haji agar tidak kehilangan sebab di Tanah Suci itulah tanda pengenalan kita menggantikan kad pengenalan dan dokumen penting di tanah air," katanya kepada Petugas Media di Ibu Pejabat Tabung Haji di sini, kelmarin.

Selain kehilangan lanyard, katanya aduan yang diterima setakat ini hanya membabitkan hal kecil yang berkisar mengenai masalah di tempat penginapan seperti kerosakan penghawa dingin dan sebagainya.

MOHD Zakee (tengah) berbincang dengan kakitangannya di hadapan Pusat Khidmat Pelanggan TH, di Makkah. FOTO Hussain Jahit
MOHD Zakee (tengah) berbincang dengan kakitangannya di hadapan Pusat Khidmat Pelanggan TH, di Makkah. FOTO Hussain Jahit

Namun, biar apapun pun juga masalah yang diajukan oleh jemaah, Mohd Zakee memberi jaminan Bahagian Khidmat Pelanggan akan berusaha untuk menanganinya dalam tempoh 24 jam hingga 72 jam bergantung kepada permasalahan yang dikemukakan.

Pada masa sama, katanya seperti musim haji sebelum ini, Pasukan Peronda TH akan bertugas 24 jam di lapan check point atau lokasi khusus di sekitar Masjidil Haram bagi membantu jemaah haji Malaysia, terutama dari segi pandu arah demi memastikan keselamatan mereka.

Antara kawasan terbabit adalah dua kawasan di sekitar Marwah, sekitar pintu Assalam, dataran Safwah, kawasan dataran laluan ke Misfalah dan berhadapan pintu King Abdullah.

Beliau berkata, kebanyakan kes jemaah tersasar membabitkan mereka yang kali pertama tiba Tanah Suci dan belum pernah menunaikan umrah sebelum ini terutama dalam kalangan warga emas.

"Jadi sebab itu kita tempatkan Pasukan Peronda TH di lapan kawasan utama di sekitar Masjidil Haram untuk melihat dan memantau pergerakan mereka. Contohnya bagi jemaah yang menunaikan umrah pertama memang kita akan lihat dan pantau perjalanan mereka dari satu check point ke check point lain.

"Jika ada jemaah lambat pulang kita akan maklumkan dalam kumpulan," katanya sambil memaklumkan setiap aduan dan maklumat kehilangan jemaah haji boleh diajukan di talian hotline 012-5704433.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 8:55 PM