ANTARA gambar kenangan arwah.
ANTARA gambar kenangan arwah.

Seremban: “Walaupun suami sudah tiada, saya perlu meneruskan kelangsungan hidup demi anak. Saya akan mendidik mereka sebaik mungkin seperti kehendak arwah,” kata Siti Hazwani Ahmad, balu kepada Kapten Hasman Hussin, 34, yang lemas di Missouri, Amerika Syarikat (AS), minggu lalu.

Hazwani, 29, berkata, dia dimaklumkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bahawa jenazah suaminya akan dibawa pulang dari Amerika Syarikat (AS), esok.

Katanya, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), jenazah dikebumikan di kampung mentuanya di Masjid Tanah, Melaka, dekat sini.

“Saya perlu kuat dan cekal menyambut ketibaan jenazah. Saya tidak mahu air mata mengiringi kehadirannya nanti. Apa-apapun, saya perlu reda dan tabah,” katanya di rumah keluarganya di FELDA Palong 13, Jempol, dekat sini, semalam.

Menurutnya, biarpun kematian suami sukar diterima, dia bertekad mahu meneruskan hidup demi masa depan tiga anak mereka yang masih kecil.

Katanya, dia akan berusaha mengatasi kesedihan bagi memastikan hidupnya dan anak tidak terabai.

“Pada hari pertama menerima berita kematian, saya akui sangat sedih dan tertekan hingga tidak mampu memberi perhatian kepada anak.

“Tetapi apabila difikirkan semula, sampai bila harus begini sedangkan anak masih memiliki masa depan,” katanya.

Menurutnya, paling menyedihkan apabila anak sulungnya, Muhammad Aqil Tahfiz, 3, paling rapat dengan arwah dan sentiasa bertanyakan mengenai bapanya.

“Muhammad Aqil selalu bertanya bila bapanya akan bangun semula. Saya tak tahu bagaimana mahu menjawab pertanyaan itu,” katanya.

Hazwani berkata, bagi urusan menyambut jenazah, pihak ATM akan membawa keluarganya dan mentua ke KLIA menggunakan dua van.

“Saya mewakili keluarga dan mentua menzahirkan penghargaan terhadap ATM yang banyak membantu urusan membawa pulang jenazah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2016 @ 8:30 AM