MUHAMMAD Aqil Solihin (kiri) dan Muhammad Aqil Solihan ketika memulakan hari pertama persekolahan murid tahun satu di SK Lavender Height, Senawang. FOTOT Abnor Hamizam Abd Manap
MUHAMMAD Aqil Solihin (kiri) dan Muhammad Aqil Solihan ketika memulakan hari pertama persekolahan murid tahun satu di SK Lavender Height, Senawang. FOTOT Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


Seremban: "Syukur anak kembar saya tidak meragam ketika memulakan hari pertama persekolahan tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Lavender Height, Senawang di sini tadi," ujar Siti Hazwani Ahmad,36, ibu kepada Muhammad Aqil Solihin Hasman dan Muhammad Aqil Solihan, 7.

Menurutnya, semua guru di sekolah berkenaan amat membantu dalam memastikan semua aspek berkaitan persekolahan anaknya diselesaikan.

Muhammad Aqil Solihin dan Muhammad Aqil Solihan adalah anak kepada Allahyarham Kapten Hasman Hussin yang meninggal dunia selepas kenderaan dinaikinya bersama empat rakan dihanyutkan arus deras di Missouri, Amerika Syarikat pada 26 Disember 2015.

Ketika itu Allahyarham sedang mengikuti Kursus Kerjaya Kapten Jurutera manakala Siti Hazwani baru tiga bulan melahirkan pasangan kembar berkenaan.

Siti Hazwani berkata, dia mengambil cuti bagi menghantar anak kembarnya itu memasuki tahun satu dan menjalani sesi persekolahan pada sebelah petang.

"Saya dimaklumkan, mereka tidak berada dalam kelas yang sama namun saya percaya mereka boleh membiasakan diri dengan persekitaran sekolah berkenaan.

"Guru sekolah ini pula amat baik dan prihatin. Selain pasangan kembar itu, abang mereka Muhammad Aqil Tahfiz ,10, turut belajar di sekolah sama namun pada sesi pagi," katanya tadi.

Siti Hazwani berkata, biarpun dua anaknya itu pasangan kembar, namun mereka tidak seiras dan berbeza perangai.

"Muhammad Aqil Solihin seorang yang serius dan pendiam manakala Muhammad Aqil Solihan seorang yang lincah dan aktif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2022 @ 5:03 PM