Rosmah   bertanya khabar  Siti Hazwani dan anaknya   Muhammad Aqil Solihin, semalam.
Rosmah bertanya khabar Siti Hazwani dan anaknya Muhammad Aqil Solihin, semalam.

Kuala Lumpur: Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor meluangkan masa bertemu keluarga balu pegawai tentera yang terkorban dalam banjir di Amerika Syarikat Disember lepas.

Dalam pertemuan sejam itu, Rosmah yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) bertanya khabar dan beramah mesra dengan balu Allahyarham Kapten Hasman Hussin, Siti Hazwani Ahmad, 29, dan tiga anak lelakinya.

Rosmah turut menyampaikan sumbangan BAKTI kepada Siti Hazwani dalam pertemuan di bangunan BAKTI di sini.

Siti Hazwani berkata, sejak kehilangan suami, hanya gelak tawa anak kembar menjadi penawar duka serta pengubat rindu.

Beliau berkata, kedua-dua anak kembar lelakinya, Muhammad Aqil Solihin dan Muhammad Aqil Solihan, yang berusia empat bulan memiliki raut wajah mirip arwah bapa mereka.

Namun, adakalanya, hati Siti Hazwani sayu apabila anak sulungnya Muhammad Aqil Tahfiz, 4, sering bertanya bila dia dapat bertemu bapa memandangkan dia rapat dengan arwah Hasman.

“Syukur, saya diberikan kekuatan menerima takdir dan terima kasih di atas segala sokongan serta bantuan pelbagai pihak,” katanya.

Siti Hazwani yang berniaga dalam talian dan kini menetap di rumah ibunya di Jempol, Negeri Sembilan berkata sumbangan itu akan digunakan untuk pendidikan anak.

“Terima kasih kepada kerajaan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang banyak memberikan sokongan serta bantuan,” katanya.

Allahyarham Hasman, 33, yang mengikuti kursus ‘Engineer Captains Career’ di Fort Leonard, Missouri Amerika Syarikat, meninggal dunia selepas kenderaan dinaikinya hanyut dalam kejadian banjir di sana pada 26 Disember tahun lalu. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 7:05 AM