Helmi (tengah) bersama timbalannya,  Zulkiflee Rashid (kiri) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di Sungai Kob.
Helmi (tengah) bersama timbalannya, Zulkiflee Rashid (kiri) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di Sungai Kob.

Alor Setar: Rahsia sebuah rumah terpencil dalam sebuah dusun buah-buahan di Sungai Kob, Kulim, dijadikan makmal untuk memproses dadah untuk pasaran tempatan terbongkar apabila polis merampas dadah jenis heroin dan kafein bernilai RM130,500 pada Khamis lalu.

Dalam serbuan jam 3.40 petang oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman bersama JSJN Kedah turut menahan tiga lelaki dan sepasang suami isteri warga asing berusia 22 hingga 54 tahun.

Ketua JSJN Kedah Superintendan Helmi Aris berkata, berdasarkan maklumat, pihaknya melakukan risikan sejak enam bulan lalu bagi memantau pergerakan sindiket terbabit yang menjalankan aktiviti secara nomad.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan tiga lelaki terbabit bersama pasangan suami isteri warga Myanmar itu dipercayai sedang memproses dadah dan gagal melarikan diri selepas kawasan berkenaan dikepung.

“Hasil pemeriksaan mendapati rumah terbabit dijadikan makmal haram untuk memproses dadah dan menemui 5.7 kilogram (kg) dadah jenis heroin dan 9.3kg kafein dianggarkan bernilai RM130,500.

“Berikutan itu, lima suspek termasuk ketua mereka berusia 30-an yang mempunyai rekod jenayah ditahan, manakala tiga buah kereta jenis Honda Civic, Ford Ranger dan Proton Waja bernilai RM78,000 turut disita untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 6:05 AM