TIGA lelaki yang disyaki terbabit kegiatan memproses heroin ditahan.
TIGA lelaki yang disyaki terbabit kegiatan memproses heroin ditahan.

Georgetown: Kelibat tiga lelaki yang sering kelihatan dalam keadaan mencurigakan di sebuah rumah berkembar sejak beberapa bulan lalu akhirnya membongkar kewujudan makmal haram memproses heroin di Lorong Padang Tembak, Air Itam di sini, petang kelmarin.

Ketiga-tiga lelaki yang juga ahli kongsi gelap ‘Pheh’ berusia antara 25 hingga 47 tahun itu ditahan jam 5.20 petang oleh pasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri hasil maklumat awam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, polis terlebih dulu melakukan intipan di kawasan rumah berkenaan sebelum ketiga-tiga suspek dipercayai cuba keluar dari kediaman itu dan tersentak dengan kehadiran anggota polis selepas mendapati seluruh kawasan rumah sudah dikepung.

Beliau berkata, dalam pemeriksaan dijalankan polis menemui 34 kilogram (kg) heroin, 2,738 pil Esctasy, 10.4kg kafein, bahan kimia seperti klorofom, thiner serta beberapa peralatan memproses dadah termasuk ketuhar mikro, mesin pengisar, penapis, serbuk vanilla dan sebagainya.

“Jumlah anggaran dadah yang dirampas bernilai RM1.1 juta dan mereka dipercayai bergerak secara aktif serta memasarkan bekalan dadah sekitar wilayah utara dan beroperasi sejak enam bulan lalu.

“Polis turut menyita dua kereta Toyota Altis dan Proton Wira serta wang tunai RM1,382 dan nilai keseluruhan sitaan RM78,382,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 9:48 AM