ABDUL Aziz (empat dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan, baru-baru ini. FOTO Zuhainy Zulkiffli.
ABDUL Aziz (empat dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan, baru-baru ini. FOTO Zuhainy Zulkiffli.
Zuhainy Zulkiffli


SINDIKET memproses dan mengedar dadah yang aktif sejak enam bulan lalu di Pulau Pinang lumpuh selepas penahanan dua lelaki.

Kedua-duanya berusia 47 dan 35 tahun ditahan dalam dua serbuan di Seberang Perai Tengah, bermula 31 Julai lalu.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Aziz Abdul Majid berkata, suspek diberkas sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen menerusi serbuan pertama di rumah teres dua tingkat di Bukit Tengah.

Katanya, serbuan di situ membongkar sebuah makmal mini memproses heroin dan lelaki berusia 47 tahun ditahan.

"Polis merampas peralatan memproses dan beberapa jenis dadah bernilai RM47,320. Semua dadah dipercayai untuk pasaran tempatan.

"Suspek ini sudah dituduh di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada 10 Ogos lalu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya pada sidang media di Georgetown, hari ini.

Abdul Aziz berkata, pihaknya berjaya menahan lelaki berusia 35 tahun di kawasan berhampiran lokasi pertama pada 8 Ogos lalu, bersama 10 bungkusan plastik dadah jenis syabu dianggarkan lebih RM400,000.

"Suspek kedua itu kini ditahan reman sehingga 14 Ogos untuk siasatan mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kesemua dadah yang dirampas membabitkan 2,210 gram heroin, 660 gram syabu, 2,763 gram serbuk kafein, 10,357 gram syabu dan 20 pil erimin 5 yang kesemuanya bernilai RM447,320.00," katanya.

Abdul Aziz memberitahu masih menjalankan siasatan lanjut sindiket itu dan sedang mengenal pasti beberapa suspek lain yang terbabit.

Dalam pada itu, JSJN berjaya menahan seramai 6,145 individu atas pelbagai kesalahan dadah sejak Januari hingga Julai lalu membabitkan jumlah rampasan dadah bernilai RM7.7 juta.

Katanya, dadah yang dirampas adalah 460.31 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah tradisional dan sintetik; 67,190 pil ekstasi dan psikotropik; 5,895.6 cecair ketum dan kodien, empat pokok ganja dan 530.65 kg daun ketum.

"Keseluruhan dadah yang dirampas itu mampu menampung seramai 1.33 juta orang penagih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 1:35 PM