HASNAN menunjukkan peralatan memproses dadah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, Ipoh.  FOTO Muhaizan Yahya
HASNAN menunjukkan peralatan memproses dadah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, Ipoh. FOTO Muhaizan Yahya
HM Digital

Ipoh: Sindiket dadah ditumpaskan polis dalam tujuh serbuan di tiga negeri termasuk membabitkan sebuah makmal memproses heroin di Jelapang, di sini, membabitkan rampasan bernilai RM1.03 juta, kelmarin.

Serbuan digerakkan Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Siasatan Narkotik (JSJN) Perak membabitkan beberapa lokasi di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.

Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata, serbuan dijalankan bermula jam 12.30 tengah hari hingga 11 malam dan lapan suspek berusia antara 22 hingga 47 tahun, termasuk seorang wanita tempatan dan seorang lelaki warga Sri Lanka ditahan.

Menurutnya, polis turut menemui dadah jenis ganja dan heroin yang dianggarkan bernilai RM619,412 membabitkan 2.67 kilogram (kg) bahan asas membuat heroin, heroin nombor 3 (3.42 kg) dan ganja (30kg) serta 56.9kg kafein.

Katanya, polis juga membuat sitaan harta bernilai RM410,700 membabitkan empat kereta, tiga motosikal dan wang tunai RM1,700 menjadikan jumlah keseluruhan rampasan RM1.03 juta.

BAHAN yang digunakan untuk memproses dadah. FOTO Muhaizan Yahya
BAHAN yang digunakan untuk memproses dadah. FOTO Muhaizan Yahya

“Serbuan pertama di sebuah rumah kedai dua tingkat di Jelapang, di sini yang berjaya menahan lima suspek membabitkan empat lelaki dan seorang wanita tempatan serta merampas pelbagai peralatan dan bahan kimia yang dipercayai digunakan untuk memproses heroin ditingkat atas premis berkenaan.

“Polis turut menemui bahan asas membuat heroin, heroin nombor 3, dan hampir 60 kilogram (kg) kafein di di tingkat atas rumah kedai terbabit yang dijadikan makmal memproses, manakala tingkat bawah dijadikan kedai menjual barangan hiasan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini semalam.

Hasnan berkata, serbuan kemudian dibuat di sebuah kediaman di Taman Puncak Jelapang, di sini dan menemui ganja seberat 30kg dalam sebuah kereta di rumah berkenaan.

“Serbuan lanjut dilakukan di sebuah kedai kopi di Damansara, Selangor dan berjaya menahan tiga suspek termasuk seorang lelaki warga Sri Lanka.

“Beberapa serbuan lagi dibuat di Negeri Sembilan membabitkan sitaan pelbagai barang rampasan,” katanya.

Menurutnya, sindiket berkenaan dipercayai aktif dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan sejak dua bulan lalu dan masih ada ahli sindiket yang masih bebas serta sedang giat diburu.

SEBAHAGIAN dadah yang berjaya dirampas dalam serbuan.  FOTO Muhaizan Yahya
SEBAHAGIAN dadah yang berjaya dirampas dalam serbuan. FOTO Muhaizan Yahya

“Dalam tangkapan itu, dalang utama turut berjaya ditahan dan semakan mendapati enam lelaki warga tempatan itu mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

“Manakala warga asing berkenaan pula mempunyai pasport tamat tempoh,” katanya.

Katanya, suspek direman selama enam hari sehingga 23 Januari ini dan disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 5:44 AM