Mohd Sabran Md Sani


JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menumpaskan sindiket pemprosesan heroin selepas menahan lapan individu menerusi tujuh serbuan berasingan di negeri ini membabitkan nilai rampasan dadah RM640,000, Sabtu lalu.

Pengarahnya Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, kegiatan terbabit terbongkar hasil risikan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman bersama JSJN Kontinjen Johor selama tiga minggu.

Katanya, kejayaan terbaru itu membolehkan lapan ahli sindiket termasuk tujuh warga tempatan dan seorang warga Bangladesh dipercayai pakar kimia berusia 28 hingga 59 tahun ditahan dalam operasi bermula 2.40 petang hingga 7 malam.

Menurutnya, dalam serbuan pertama, dua lelaki tempatan berusia 30 dan 40-an ditahan di sebuah rumah di Bukit Indah, Johor Bharu yang digunakan sebagai makmal memproses heroin.

“Turut dirampas dadah heroin dan bahan kimia disyaki kafein bersama peralatan memproses dadah dengan seorang daripadanya ada rekod jenayah berkaitan dadah,” katanya.

Katanya, susulan itu, pihaknya menahan dua lelaki berusia 35 dan 42 tahun di sebuah rumah yang dijadikan stor penyimpanan bahan kimia memproses heroin di Taman Bukit Indah.

“Serbuan ketiga di Taman Bukit Perdana, Batu Pahat turut menahan dua lelaki berusia 28 dan 29 tahun dengan seorang daripadanya pernah ditahan mengikut Akta Kediaman Terhad,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Beliau berkata, selain itu, seorang lelaki berusia 30-an ditahan di sebuah rumah lain di Bukit Indah sebelum polis menyerbu sebuah rumah yang dijadikan makmal memproses heroin di Taman Mutiara Rini, Johor Bahru.

Menurutnya, seorang warga Bangladesh berusia 30-an dipercayai ahli kimia ditahan di Jalan Puncak Kempas sebelum sebuah lagi makmal heroin diserbu di Taman Tan Sri Yaakob, Skudai.

Katanya, pelbagai jenis dadah bernilai RM640,000 dirampas membabitkan 31.7 kilogram (kg) heroin, 1.06 kg heroin ‘base’, 0.44 kg ketamin, 0.11 kg syabu dan 84 kg kafein.

“Lapan kenderaan turut dirampas, selain mata wang tempatan, Singapura, Thailand dan Amerika Syarikat dengan nilai sitaan kedua-duanya RM801,000,” katanya.

Menurutnya, pihaknya percaya dadah berkenaan untuk bekalan tempatan yang dapat digunakan 162,000 pengguna.

Katanya, semua suspek direman sehingga Sabtu ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 9:23 PM
MOHMAD (dua dari kanan) menunjukkan dadah dan alat pemproses dadah yang dirampas dalam serbuan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin
MOHMAD (dua dari kanan) menunjukkan dadah dan alat pemproses dadah yang dirampas dalam serbuan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin