MAYAT mendiang dibawa keluar ahli keluarga dan rakan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
MAYAT mendiang dibawa keluar ahli keluarga dan rakan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Oleh Nur Syazwana Mansor


Pendang: Seorang pelatih Kolej Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kepala Batas, Alor Setar maut di tempat kejadian dalam kemalangan jalan raya membabit motosikal dengan lori di Kilometer 66.3, Lebuhraya Utara Selatan menghala ke selatan, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.50 malam, mangsa V Thinagaran, 23, dari Bandar Seri Astana, Sungai Petani, di sini, dalam perjalanan pulang dengan menunggang motosikal dari kolej terbabit ke rumah ibunya di Sungai Petani selepas selesai makan malam bersama rakan.

Ketua Polis Daerah Pendang Deputi Superintendan Fadzil Hashim berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam pada jam 12.05 tengah malam yang memaklumkan mengenai kemalangan membabitkan motosikal dan lori.

Katanya, seorang pegawai penyiasat bersama beberapa anggota dikejarkan ke tempat kejadian dan mendapati penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal seorang diri merempuh belakang lori yang berhenti di lorong kecemasan.

“Rempuhan itu menyebabkan mangsa cedera parah di kepala dan mati serta-merta di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, mayat dihantar ke unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, bapa mangsa, R Vasudevan, 49, berkata, mangsa anak sulung daripada empat beradik sering berulang-alik dari kolej itu ke rumahnya di Sungai Petani setiap minggu.

“Sebelum kejadian dia (mangsa) hubungi saya jam 10 malam dan beritahu mahu bersembahyang di kuil berhampiran Jalan Stadium, di sini, terlebih dulu sebelum pulang ke rumah.

“Bagaimanapun, saya terkejut jam 2 pagi apabila seorang rakannya memberitahu mangsa terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSB, di sini, semalam.

Vasudevan berkata, mangsa yang empat tahun menjadi pelatih tentera kini menjalani kursus di kolej berkenaan dalam bidang kejuruteraan mekanikal.

“Dia masih bujang dan bercita-cita menjadi tentera sejak kecil kerana saya pesara tentera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2015 @ 9:26 AM