Kemalangan yang membabitkan tiga buah lori tentera dan sebuah lori syarikat kurier di Kilometer Kilometer 77.5 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara yang menyebabkan tiga anggota tentera maut. FOTO IHSAN PDRM
Kemalangan yang membabitkan tiga buah lori tentera dan sebuah lori syarikat kurier di Kilometer Kilometer 77.5 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara yang menyebabkan tiga anggota tentera maut. FOTO IHSAN PDRM
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Tiga anggota tentera yang maut kemalangan selepas lori tentera dirempuh sebuah lori terbabas di Kilometer 77.5 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara hari ini bertugas di Kem 3 Rejimen Sempadan, Pengkalan Hulu, Perak.

Mangsa dikenali sebagai Sarjan Rozali Abdull Rani, 39, Koperal Mohd Asri Idris, 40, dan Lans Koperal Mohd Hafiz Haris, 30.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian berlaku jam 10.30 pagi di lokasi kejadian membabitkan tiga lori tentera Hicom dengan sebuah lori syarikat kurier.

Beliau berkata, siasatan awal di lokasi terbabit mendapati semua lori tentera terbabit bergerak dari Kem 3 RS menuju ke Kem 30 Briged, Perlis manakala lori syarikat kurier itu bergerak dari Kulim hendak ke Alor Setar untuk menghantar bungkusan.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila tiga lori tentera terbabit berhenti di lorong kecemasan kerana salah sebuah lori tentera itu mengalami kerosakan.

"Namun secara tiba-tiba datang sebuah lori syarikat kurier dari arah belakang lorong kiri dipercayai melanggar bahagian belakang lori tentera yang rosak itu.

"Perlanggaran itu menyebabkan lori kurier terbabit berpusing ke kiri dan melanggar pula bahagian belakang sebelah kanan sebuah lagi lori tentera yang berada di kedudukan tengah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zaidy berkata, lori tentera kedua yang dilanggar itu kemudian menggelongsor ke hadapan terlanggar bahagian belakang lori tentera yang berada di kedudukan paling hadapan.

Beliau berkata, ketika kejadian, ketiga-tiga pemandu lori tentera itu dipercayai berada di sebelah sisi kanan lori tentera yang mengalami kerosakan paling awal itu.

"Akibat kemalangan, ketiga pemandu lori tentera terbabit meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori syarikat kurier terbabit mengalami kecederaan parah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk rawatan lanjut.

"Mayat ketiga-tiga mangsa kemudian dibawa ke unit Forensik HSB untuk dibedah siasat," katanya.

Zaidy berkata, pemandu lori syarikat kurier berusia 31 tahun yang beralamat di Alor Setar itu patah kaki kiri dan cedera di kepala akibat kejadian itu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 4:27 PM