Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: "Mak cik mulanya tak percaya Mohd Hafiz sudah tiada, namun semuanya bagaikan mimpi apabila diberitahu dia terbabit dengan nahas pagi tadi. Mak cik reda dengan apa yang berlaku," kata Ruzita Zulkifli, 58.

Ruzita adalah ibu kepada Allahyarham Lans Koperal Mohd Hafiz Haris, 30, seorang daripada tiga anggota tentera dari Batalion 3 Rejimen Sempadan (RS) Pengkalan Hulu, Perak yang meninggal dunia selepas dilanggar sebuah lori syarikat kurier yang terbabas di Kilometer 77.5 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara di Gurun, Sungai Petani, hari ini.

Dalam kejadian 10.30 pagi hari ini, tiga anggota tentera yang maut dikenali sebagai Sarjan Rozali Abdull Rani, 39, Koperal Mohd Asri Idris, 40, dan Lans Koperal Mohd Hafiz Haris, 30.

Ketiga-tiga mereka meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan manakala pemandu lori syarikat kurier itu patah kaki kiri dan cedera di kepala akibat kemalangan itu.

Menurut Ruzita, dia terkejut sebaik dimaklumkan oleh suaminya, Haris Hamzah, 71, yang anak mereka meninggal dunia akibat kemalangan selepas dihubungi oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Mulanya saya memang tak percaya tetapi sebaik anak ketiga mengesahkan apa yang berlaku, mak cik akhirnya dapat menerima berita sedih ini.

"Bila suami beritahu arwah meninggal, mak cik kata mungkin ia (perkara) itu tak betul, mungkin bukan dia tapi lepas itu mak cik reda.

"Mak cik nak bisik dekat telinga dia yang mak cik ampunkan dia, halalkan makan minum serta susu mak cik apabila melihat jenazahnya nanti," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Selain itu, Ruzita berkata, sebagai ibu, dia mendoakan semoga roh anaknya itu dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman kerana arwah seorang anak yang baik.

Katanya, Mohd Hafiz juga seorang anak yang taat pada agama selain bertanggungjawab pada ibu bapa dan keluarga.

Jenazah Mohd Hafiz akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Wajdi, Bukit Selambau di Sungai Petani sebaik urusan bedah siasat selesai.

Dalam pada, adik ipar Mohd Hafiz, Ahmad Aizat Ishak, 27, berkata, dia sudah pun memaklumkan kejadian itu kepada kakaknya yang juga isteri mangsa, Nur Hasni Ishak, 32.

Katanya, kakaknya kini dalam perjalanan ke HSB dari rumah sewanya di Pengkalan Hulu, Perak.

"Saya dapat tahu kejadian ini daripada emak dan bapa saudara. Memang terkejutlah kerana arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sebelum ini.

"Saya dah beritahu kakak berkaitan perkara ini dan dia dalam perjalanan ke sini (hospital)," katanya.

Dalam pada itu, suasana pilu menyelubungi perkarangan Jabatan Forensik HSB di sini dengan kehadiran sanak saudara serta kenalan mangsa yang terbabit dalam nahas itu.

Media hari ini melaporkan, tiga anggota tentera maut dalam kemalangan membabitkan tiga lori tentera dengan sebuah lori syarikat kurier di Kilometer 77.5 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara dekat Gurun, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika ketiga-tiga lori tentera terbabit bergerak dari Kem 3 RS menuju ke Kem 30 Briged, Perlis manakala lori syarikat kurier itu bergerak dari Kulim hendak ke Alor Setar untuk menghantar paket.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 6:08 PM