NIK Mohd Faisal maut dalam kemalangan di Jalan Persiaran Kota Klang menghala ke Pelabuhan Klang. FOTO ihsan bomba
NIK Mohd Faisal maut dalam kemalangan di Jalan Persiaran Kota Klang menghala ke Pelabuhan Klang. FOTO ihsan bomba
Amirul Aiman Hamsuddin


DUA anggota barisan hadapan maut dalam dua kejadian kemalangan ngeri di dua lokasi berasingan hari ini.

Dalam kejadian pertama, anggota tentera maut sejurus motosikal ditunggang terbabit kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 44.1 Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Selangor.

Mangsa, Omar Abd Rahman, 39, yang dipercayai dalam perjalanan untuk bertugas disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.58 pagi sebelum sepasukan enam pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian.

KEADAAN kemalangan membabitkan lima kenderaan yang mengorbankan anggota tentera di Kilometer 44.1 Kesas, hari ini. FOTO ihsan bomba
KEADAAN kemalangan membabitkan lima kenderaan yang mengorbankan anggota tentera di Kilometer 44.1 Kesas, hari ini. FOTO ihsan bomba

"Kemalangan membabitkan lima kenderaan iaitu tiga lori, sebuah kereta dan sebuah motosikal.

"Penunggang motosikal Honda EX5 digilis lori dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya.

Beliau berkata, mayat dikeluarkan pihak bomba sebelum diserahkan kepada polis.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam maut sejurus motosikal ditunggang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Persiaran Kota Klang menghala ke Pelabuhan Klang, jam 11.30 pagi, hari ini.

Mangsa, Nik Mohd Faisal Nik Kamaruddin, 41, meninggal dunia dan jenazah kini berada di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk tindakan lanjut.

Sementara itu dalam kejadian ke tiga, seorang lelaki maut sejurus motosikal ditunggang dilanggar lori di Kilometer 455.1 (U) Lebuhraya Utara Selatan (Sungai Buloh - Rawang), arah utara.

Mangsa, Mohd Nazeri Mohamud, 27, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah pada kepala dan anggota badan dalam kejadian sekitar jam 9.30 pagi tadi.

Manakala pemandu lori berusia 55 tahun tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, kemalangan membabitkan motosikal Yamaha LC dan lori tiga tan.

"Motosikal mangsa dilanggar dari belakang oleh lori di lorong satu menyebabkan mangsa tercampak ke lorong ketiga.

"Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak paramedik Hospital Sungai Buloh (HSB)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 6:20 PM