Melaka: Polis mengesan seorang wanita berusia 40-an bagi membantu siasatan berhubung kejadian kanak-kanak lelaki ditemui merayau seorang diri di tepi jalan berhampiran stesen minyak di Jalan Tun Perak, di sini, jam 4.45 pagi, semalam.

Kanak-kanak itu, Muhamad Faqhrul Radzee Abdul Samad ditemui lelaki berusia 27 tahun dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Ayer Keroh Height, Ayer Keroh, sebelum menyerahkan mangsa di Balai Polis Ayer Keroh.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintendan Razali Bakar berkata, sebelum kejadian wanita itu dikatakan membawa Muhamad Faqhrul Radzee keluar bersahur jam 3 pagi.

“Bagaimanapun, kanak-kanak itu ditemui merayau seorang diri dan menangis ketakutan kira-kira 100 meter dari premis yang disewa ibu bersama rakannya.

“Wanita yang juga jiran kanak-kanak itu diperlukan bagi membantu siasatan dan sehingga petang ini (semalam) dia belum ditemui ,” katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, di sini, semalam.

Razali berkata, hasil siasatan mendapati anak keempat daripada lima beradik itu dijaga jiran dikenali sebagai James.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2015 @ 10:46 AM