Muhamad Faqhrul Radzee disuapkan bubur oleh kerani Balai Polis Ayer Keroh, Ummi Khairiah Kassim sambil diperhatikan Timbalan Ketua Balai Ayer Keroh, Sarjan Mejar Muhamad Jeon.
Muhamad Faqhrul Radzee disuapkan bubur oleh kerani Balai Polis Ayer Keroh, Ummi Khairiah Kassim sambil diperhatikan Timbalan Ketua Balai Ayer Keroh, Sarjan Mejar Muhamad Jeon.
Oleh NurSaliawati Salberi

Melaka: Ditemui dalam keadaan lapar, tidak terurus dan kesejukan, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun bernasib baik diselamatkan lelaki yang menemuinya merayau seorang diri ketika umat Islam membuat persiapan untuk bersahur.

Dalam kejadian berhampiran stesen minyak di Jalan Tun Perak, di sini, jam 4.15 pagi semalam, Rizduan Dean Razali, 27, memandu pulang ke rumahnya di Ayer Keroh Height, Ayer Keroh, sebelum terlihat kelibat kanak-kanak malang itu, Muhamad Faqhrul Radzee Abdul Samad di tepi jalan.

Difahamkan, kanak-kanak itu dijaga jiran selepas ibunya ditahan reman polis sejak Ahad lalu bagi membantu siasatan mengenai kes curi kenderaan.

Malah, polis kini melakukan siasatan untuk mengetahui bagaimana kanak-kanak itu boleh berada di tepi jalan berkenaan seorang diri pada awal pagi

Menceritakan kejadian itu, Rizduan berkata, dia menyangka kelibat manusia itu hanya imaginasinya, namun kerana berasa ada yang tidak kena, dia mengambil keputusan berhenti dan mendapatkan kepastian.

“Saya lihat dengan jelas kanak-kanak itu ketakutan dan matanya bengkak akibat menangis serta asyik memanggil ibunya dengan panggilan mama.

“Selepas dipujuk beberapa kali, dia berlari ke kereta saya dan ketika itu dia kelihatan lapar menyebabkan saya terus memandu ke stesen minyak membeli air dan makanan ringan,” katanya.

Berikutan kelaparan, Ridzuan berkata, kanak-kanak itu makan berselera sebelum terlena dengan hanya memakai baju merah dan seluar pendek menyebabkannya menggigil ketika tidur dalam keretanya.

“Saya meminta kepastian daripada kakitangan stesen minyak mengenai keluarga kanak-kanak ini, namun mereka tidak mempunyai maklumat mengenainya,” katanya.

Dia berkata, berikutan risau jika keluarga Muhamad Faqhrul Radzee mencarinya, dia mengambil keputusan menunggu di stesen minyak itu selama 30 minit sebelum pulang ke rumahnya.

“Saya panik kerana tidak tahu apa perlu dilakukan, saya menghubungi ibu dan ibu meminta saya membawa Muhamad Faqhrul Radzee pulang ke rumah. Selepas bersahur, saya membawanya ke Balai Polis Ayer Keroh untuk diserahkan kepada pihak berkuasa.

“Berikutan berat hati untuk menyerahkan Muhamad Faqhrul Radzee kepada polis, saya melakukan semakan jika keluarga kanak-kanak itu membuat laporan mengenai kehilangannya dan pegawai bertugas menyatakan belum ada laporan diterima berkaitan kanak-kanak itu,” katanya.

Baginya, dia menganggap pengalaman terserempak dengan Muhamad Faqhrul Radzee sebagai keajaiban dalam bulan Ramadan dan bercadang menjadikan kanak-kanak itu anak angkat sekiranya mendapat kelulusan pihak berkuasa.

“Biasanya saya pulang ke rumah melalui Jalan Pantai Klebang, tetapi entah mengapa kali ini teringin melalui Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah-Jasin (AMJ) mungkin kami ditakdirkan berjumpa di tepi jalan.

“Memang menjadi hasrat saya menjadikan Muhamad Faqhrul Radzee sebagai anak angkat, namun belum mempunyai pasangan hidup,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2015 @ 10:47 AM