Tengku Razaleigh (dua dari kanan) menyiram air mawar di pusara isterinya  di Tanah Perkuburan Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Gambar kecil, Najib tiba di kediaman Tengku Razaleigh.
Tengku Razaleigh (dua dari kanan) menyiram air mawar di pusara isterinya di Tanah Perkuburan Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Gambar kecil, Najib tiba di kediaman Tengku Razaleigh.

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pagi semalam menziarahi jenazah isteri bekas Menteri Kewangan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, Puan Sri Noor Yvonne Abdullah, yang meninggal dunia malam kelmarin.

Najib tiba di kediaman Tengku Razaleigh pada 8.30 pagi dan berada 10 minit di situ.

Bercakap kepada pemberita sebelum beredar meninggalkan kediaman di Jalan Langgak Golf di sini, Perdana Menteri menyifatkan pemergian Allahyarham Noor Yvonne sebagai satu kehilangan besar buat Tengku Razaleigh.

“Arwah telah memberi banyak sokongan kepada Tengku Razaleigh. Ia satu kehilangan yang amat dirasai Tengku Razaleigh.

“Semoga rohnya dirahmati Allah SWT dan ditempatkan bersama orang yang beriman,” katanya ringkas.

Noor Yvonne, 68, yang menghidap kanser darah, meninggal dunia pada 7.05 malam di sebuah pusat perubatan di Subang Jaya.

Sementara itu, jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang jam 12 tengah semalam.

Jenazah tiba di tanah perkuburan itu jam 11.30 pagi diiringi Tengku Razaleigh, kaum keluarga dan sahabat handai.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Jenazah disembahyangkan di kediaman Tengku Razaleigh pada jam
11 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2015 @ 5:23 AM