TENGKU Razaleigh Hamzah (dua kiri) kelihatan sebak berikutan kematian isterinya, Puan Sri Noor Yvonne Abdullah. FOTO Bernama
TENGKU Razaleigh Hamzah (dua kiri) kelihatan sebak berikutan kematian isterinya, Puan Sri Noor Yvonne Abdullah. FOTO Bernama

KUALA LUMPUR: Isteri Tengku Razaleigh Hamzah, Puan Sri Noor Yvonne Abdullah, 68, meninggal dunia di sebuah pusat perubatan di Subang Jaya, malam tadi.

Menurut cucu saudara Allahyarham, Tengku Nazeehah Tengku Mahmud, 36, Noor Yvonne adalah pengidap kanser darah dan mendapat rawatan di pusat perubatan itu sejak sebulan lalu.

Jenazah tiba di kediamannya di Jalan Langgak Golf, Off Jalan Tun Razak di sini kira-kira 9.45 malam tadi.

Antara yang menziarahi jenazah ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengucapkan takziah kepada Tengku Razaleigh, yang juga Anggota Parlimen Gua Musang.

"Moga rohnya dirahmati. Al-Fatihah," kata Najib dalam catatan di laman Twitternya.

Solat jenazah dijangka berlangsung pada 10.30 pagi esok sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang sejurus selepas itu. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2015 @ 1:09 AM