KETUA UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah. FOTO Syamsi Suhaimi
KETUA UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah. FOTO Syamsi Suhaimi
Luqman Arif Abdul Karim


KETUA UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah memberi bayangan percaturan merebut jawatan nombor satu parti bukan tugas mudah.

Menjengah usia 81 tahun, sosok pemimpin yang sarat dengan pengalaman dalam liku dunia politik itu seakan berwaspada menyusun langkah kerana enggan mengeruhkan suasana UMNO yang baru dibadai taufan pilihan raya.

Belum sempat terbit soalan daripada pemberita, Tengku Razaleigh yang lebih mesra disapa Ku Li berkata: “Saya tahu awak nak tanya, tapi bukan hari ini.

“Nanti kita cerita lain hari ya. Perkara itu besar, bukan main-main. Bendanya belum masak,” katanya sambil melemparkan senyuman.

Di sebalik teka-teki menjelang pemilihan UMNO, kediaman Tengku Razaleigh, malam tadi dipenuhi tetamu, sekali gus mengundang spekulasi pihak tertentu dalam kalangan pemerhati politik.

Cakap-cakap yang acap kali kedengaran adalah mungkin pertemuan di kediaman anak kerabat diraja Kelantan itu bertujuan meraih kesepakatan sokongan kepemimpinan tertinggi UMNO sebelum menempuh medan pemilihan parti.

Spekulasi itu semakin bertiup kencang apabila Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Penerangan, Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Mustapa Mohamed turut hadir pada majlis berkenaan.

‘Orang kanan’ Ku Li yang enggan identitinya dikenali bagaimanapun berkata, majlis yang dimulai dengan berbuka puasa, solat Maghrib, Tarawih dan moreh itu adalah bagi memperingati pemergian isterinya, Allahyarham Puan Sri Noor Yvonne Abdullah pada tanggal 5 Jun 2015.

“Alhamdulillah, seramai 26 Ahli Parlimen UMNO dapat hadir dan memeriahkan majlis. Ia bukan seperti dikhabarkan tetapi sempena tahun ketiga pemergian Allahyarham isteri Ku Li.

“Datuk (Seri) Hishammuddin (Hussein) tidak dapat hadir kerana difahamkan masih berada di Makkah untuk menunaikan umrah, manakala saya dimaklumkan Datuk Seri Najib (Razak) sehingga kini hanya berbuka di rumahnya,” katanya.

Semasa moreh, perbualan para tetamu menarik perhatian wartawan: “Kita harap Datuk Zahid berjiwa besar dan bagi laluan kepada Ku Li supaya UMNO diberikan permulaan baharu dalam menempuh hari mendatang.

“Bukan apa, kalau Datuk Zahid bertanding Presiden, nanti beliau jadi seakan ‘lapang sasar’ kepada pihak lawan dalam Pakatan Harapan,” katanya yang hanya memperkenalkan diri sebagai pemimpin UMNO Bahagian Tambun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 12:11 AM